Isnin, 9 Ogos 2010

Bantahan Anti ISA Merebak Ke London, Anifah Terkedu

Oleh Fazli Othman

SHAH ALAM - Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Anifah Aman disambut dengan laungan 'Anti ISA' dan 'Mansuhkan tahanan tanpa bicara' oleh aktivis Gerakan Mansuh Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di luar bangunan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di London semalam.

Beliau yang tiba di kotaraya itu dalam sesi rangka lawatan kerja ke United Kingdom dan Jerman bermula 1 Ogos lalu terkedu dengan laungan dan bantahan aktivis yang menentang sekeras-kerasnya akta drakonian itu dan menggesa kerajaan Umno-Barisan Nasional memansuhkan segera undang-undang lapuk yang sudah bertapak dinegara ini sejak 50 tahun lalu.

Sekumpulan 30 aktivis berhimpun di luar bangunan suruhanjaya itu untuk menyampaikan bantahan mereka kepada Anifah menyebabkan tetamu yang telah berada di dalam bangunan Pesuruhjaya Tinggi itu terpaksa menunggu lama untuk mendengar ucapan Menteri Luar itu.

Anifah juga dijangka menyampaikan ucapan beliau kepada ketua komuniti dan pelajar Malaysia di London untuk memberi penerangan berhubung situasi semasa polisi kerajaan.

Menurut sumber, kebanyakan peserta demonstrasi adalah daripada kalangan muka baru yang menggunakan pembesar suara sambil melaung-laungkan "Hentikan tahanan tanpa bicara".

Turut hadir, Six Oranges, penerbit filem berhubung isu sosial yang berpangkalan di London - mereka kini dalam proses menerbitkan dokumentari mengenai ISA.

Sebelum ini di lapan lokasi di seluruh negara, pihak polis menahan 30 peserta perhimpunan aman anti ISA pada 1 Ogos lalu termasuk di Pulau Pinang, Johor dan Kelantan.

Antara yang ditahan pada sambutan sempena ulangtahun ke-50 kewujudan ISA, Pengerusi Gerakan Mansuh ISA Syed Ibrahim Syed Noh, Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia, S Arutchelvan dan Ahli Majlis Pimpinan KEADILAN Pusat, Badrul Hisham Shaharin (CheGuBard).

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar memberi amaran kepada kepada orang awam supaya tidak menghadiri perhimpunan memasang lilin yang dianggap sebagai perhimpunan haram.

Tiada ulasan: