Sabtu, 7 Ogos 2010

Bantah sambung kontrak Musa

SINAR HARIAN

SHAH ALAM – Tempoh perkhidmatan Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Musa Hassan, yang akan berakhir pada 12 September ini tidak wajar disambung.

Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahudin Ayob berkata, pelapis baru perlu diberi peluang menerajui Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai menggantikan jawatan KPN sekarang.

Menurutnya, ini bagi memberi peluang kepada orang kanan PDRM membawa perubahan dan motivasi yang lebih segar dalam pentadbiran PDRM agar lebih kukuh dan ke hadapan.

“Tanpa sebarang sentimen, saya berpendapat adalah wajar tidak ada sambungan kontrak bagi membuka peluang kepada pemimpin baru yang akan membawa kreativiti untuk memajukan bahagian itu (PDRM),” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Beliau tidak menafikan KPN mempunyai sumbangan kepada negara ini dan berpendapat apabila seseorang sudah menghampiri umur persaraan adalah wajar tidak ada penyambungan kontrak.

Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng pula berkata, beliau dan beberapa ahli parlimen lain dalam Pakatan Rakyat (PR) sedang membuat perbincangan untuk mengemukakan bantahan awal pembaharuan kontrak KPN sebelum perkara itu diputuskan.

Menurutnya, bantahan itu sama ada dalam bentuk petisyen atau pun memorandum kepada pihak-pihak yang berkenaan.

“Banyak faktor yang tidak melayakkan beliau (Musa) daripada menyambung kontraknya. Kita akan membuat bantahan ini atas beberapa sebab, khususnya yang berkaitan tahap keselamatan negara ini sepanjang berada di bawah kepimpinan beliau (Musa).

“Hakikatnya, kes jenayah di Malaysia menunjukkan peningkatan tinggi, walaupun kerajaan mengumumkan kejatuhan kadar jenayah,” katanya.

Lip Eng berkata, kenyataan yang dikeluarkan PDRM berkenaan kadar jenayah di negara ini semakin menurun adalah tidak benar.

Menurutnya, statistik PDRM hanya berdasarkan laporan yang dibuat orang ramai kepada polis tanpa mengambil kira kes yang tidak dilaporkan.

“Saya berani cabar kerajaan atas kenyataan ini. Kerajaan boleh mendapatkan maklum balas daripada rakyat sehingga ke peringkat akar umbi untuk membuktikan statistik penurunan jenayah mereka itu betul atau tidak. Dengan cara ini kita boleh tahu statistik mereka (PDRM) atau statistik rakyat yang lebih betul.

“Saya yakin statistik dikeluarkan PDRM tidak tepat kerana ia berdasarkan laporan semata-mata. Orang awam sudah kecewa dan tidak mahu membuat laporan polis,” katanya.

Tiada ulasan: