Ahad, 22 Ogos 2010

Arjunan dedah dua lagi kes babitkan Saravanan

TERKINI

KUALA LUMPUR — Ahli politik PKR, M.S. Arjunan hari ini mendedahkan beliau didampingi dua lagi wanita — bekas pelajar sebuah kolej swasta — mendakwa menjadi mangsa seksual seorang timbalan menteri dari MIC kira-kira sedekad lalu.

Arjunan, yang mencetuskan kontroversi dengan membuat aduan ke atas Datuk M. Saravanan Sabtu lalu, mendakwa salah seorang mangsa itu menghubunginya semalam manakala seorang lagi hari ini.

“Semalam seorang dan hari ini seorang... jadi setakat ini ada tujuh wanita yang menjadi mangsa dakwaan yang dibuat sebelum ini,” kata beliau pada sidang media di sini hari ini.

Bagaimanapun beliau belum menyerahkan maklumat terbaru itu kepada polis.

Saravanan (gambar) telah pun menafikan dakwaan Arjunan sebelum ini sambil menyifatkan ia bermotifkan politik dan mahu menjejaskan kerjayanya.

Saravanan yang dihubungi The Malaysian Insider hari ini menyerahkan kepada polis untuk mengambil tindakan.

Katanya, beliau tidak harus melayan dakwaan tidak berasas seperti itu.

“Mereka (mangsa) menghubungi saya selepas membaca berita dalam akhbar, kedua-dua adalah kaum India,” kata Arjunan.

Sebelum ini Arjunan berkata, bekas pelajar yang menjadi mangsa merupakan mereka yang menuntut di Kolej Tafe antara 1998 dan 2001.

“Saya ada merekodkan perbualan mereka menerusi telefon, tetapi perbualan seorang mangsa sangat singkat... jadi saya tidak dapat mengambil butiran yang mendalam,” katanya lagi.

Ketika ditanya mengapa tidak membuat aduan kepada polis, Arjunan berkata, “itu tugas polis untuk membuat siasatan, saya cuma orang tengah, saya sudah membuat laporan polis... jangan siasat kami.”

“Malah saya sudah pun memberi keterangan kepada polis semalam,” katanya.

Ditanya apakah beliau akan membawa kesemua mangsa untuk menemui polis, Arjunan berkata, beliau tidak berhasrat untuk berbuat demikian, sebaliknya akan mengemukakan bukti di mahkamah.

“Saya tidak yakin dengan polis,” kata beliau sambil mencabar Saravanan mengambil tindakan ke atasnya.

Ditanya sama ada beliau membuat fitnah terhadap Saravanan, Arjunan berkata: “Tidak, tidak, tidak.”

Arjunan menafikan beliau membuat aduan ke atas Saravanan dengan sokongan pihak-pihak tertentu dalam MIC.

“Tidak, tidak... tiada orang dalam MIC di belakang saya, saya melakukan ini sebagai warganegara yang bertanggungjawab. Saya menerima surat daripada orang tertentu, saya membuat aduan,” katanya lagi.

Pada Sabtu lalu, Arjunan telah membuat laporan polis di ibu negara, mendakwa Saravanan, yang juga Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejateraan Bandar terlibat dalam kegiatan pelacuran dan pengedaran dadah.

Polis kesal dengan tindakan Arjunan, setiausaha PKR Ipoh Barat, yang enggan memberi kerjasama dan menyembunyikan bukti berkenaan dakwaan itu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan pada Rabu lalu berkata, sikap Arjunan itu hanya akan melewatkan proses siasatan yang sedang dilakukan.

Musa berkata sekiraya terdapat asas yang kukuh berhubung dakwaan itu barulah polis akan memanggil Saravanan untuk memberi keterangan.

Beliau juga berkata sekiranya Arjunan enggan memberi kerjasama tersebut, maka dakwaan yang dibuatnya itu hanya berupa tohmahan semata-mata.

Tiada ulasan: