Rabu, 11 Ogos 2010

Anak dakwa polis reka dakwaan Abu Bakar ‘bantu’ pengganas

THE MALAYSIAN INSIDER


Abu Bakar ditahan kelmarin kerana disyaki terlibat dalam kegiatan pengganas. — Gambar Reuters

JAKARTA— Dua anak ulama radikal Indonesia, Abdurrochim dan Abdurrosyid menegaskan dakwaan bahawa bapa mereka Abu Bakar Bashir membantu kem-kem latihan pengganas di Aceh sengaja direka oleh polis republik tersebut.

Abu Bakar, yang kini menjadi pemimpin pergerakan Jamaah Anshorut Tauhid (JAT), ditahan kelmarin kerana disyaki terlibat dalam kegiatan pengganas.

Ulama yang sering dikaitkan dengan beberapa serangan bom termasuk serangan bom di Bali pada suatu ketika dulu itu, ditahan di daerah Banjar, Ciamis, Jawa Barat dan dibawa ke Markas Besar Polis Indonesia untuk disoal siasat.

“Polis sengaja mengadakan cerita. Bapa saya tidak pernah terlibat aktiviti-aktiviti sedemikian, beliau menentang pembunuhan. Kes ini jelas direka,” kata Abdurrochim selepas melawat Abu Bakar di ibu pejabat polis di sini semalam.

Mereka membawa pakaian dan makanan untuk Abu Bakar.

Jurucakap polis kebangsaan Komisioner Kanan Marwoto pula berkata, Abu Bakar tidak memberi kerjasama selain enggan menjawab sebarang soalan pihak berkuasa.

Marwoto berkata pendirian Abu Bakar itu akan menjejaskan prosiding perundangan.

“Beliau tidak mahu menjawab sebarang soalan kami, tetapi kami ada bukti untuk mengenakan tuduhan ke atasnya,” kata beliau.

Marwoto menambah, beberapa saksi ada mengakui bahawa peranan Abu Bakar adalah mendapatkan dana bagi membiayai aktiviti pengganas.

“Abu Bakar ada berhubung dengan kawan-kawannya, ahli perniagaan agar membantu beliau. Beberapa orang telah pun ditangkap dan ditahan,” katanya.

Hidayat Nur Wahid, seorang pemimpin kanan Parti Keadilan Sejahtera (PKS), sebuah parti Islam, meminta polis melayan Abu Bakar dengan berperikemanusiaan.

Hidayat juga mengecam cara Abu Bakar ditahan sambil menegaskan polis tidak seharusnya menghentikan kereta beliau di tengah jalan, sebaliknya mengekori sehingga kenderaannya berhenti di destinasi.

Polis percaya bahawa ulama itu merestui dan membiayai latihan pengganas “Tanzim Al Qaeda Indonesia” di Aceh yang terdedah beberapa bulan lalu.

Ketua Bahagian Perhubungan Awam Polis Indonesia Inspektor Jeneral Edward Aritonang berkata Abu Bakar ditangkap kerana disyaki terlibat dalam beberapa kegiatan pengganas termasuk merancang latihan ketenteraan untuk kumpulan pengganas di Aceh.

Hasil siasatan polis mendapati Abu Bakar berperanan aktif menyiapkan rancangan awal latihan ketenteraan bagi kumpulan pengganas di Aceh, menentukan pelantikan beberapa orang sebagai pemimpin kumpulan pengganas, merestui dan membiayai kegiatan latihan kententeraan itu.

Penangkapan Abu Bakar kali ini bukanlah kali pertama.

Pada tahun 1983, beliau ditangkap bersama Abdullah Sungkar atas tuduhan menghasut orang ramai menolak asas tunggal Pancasila dan melarang pelajar di Pondok Pesantren menghormati bendera kerana perbuatan itu dianggap syirik.

Mereka berdua dihukum penjara sembilan tahun atas tuduhan berkenaan.

Pada tahun 1985, Abu Bakar dan Abdullah melarikan diri ke Malaysia ketika mereka dikenakan tahanan rumah dan di Malaysia Abu Bakar disebut-sebut membentuk gerakan Islam radikal, Jemaah Islamiah (JI), yang menjalin hubungan dengan Al-Qaeda, walaupun beliau tidak pernah mengakui wujudnya JI.

Tiada ulasan: