Khamis, 5 Ogos 2010

Ahmad jawab kemelut Umno Bkt Bendera petang ini?

Abdul Rahim Sabri

Sidang akhbar khas oleh bekas ketua Umno Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail petang ini, dijangka bakal menjawab tandatanya mengenai mengapa mesyuarat perwakilan bahagian tersebut sudah dua kali ditangguhkan tanpa memberi alasan yang kukuh.

Dan sidang akhbar petang ini diadakan empat hari dari tarikh terbaru mesyuarat bahagian itu pada 8 Ogos ini. Lebih menarik lagi, ia akan berlangsung di luar bahagian berkenaan.

Mesyuarat bahagian tersebut yang dijadualkan melantik semula Ahmad menerajui bahagian berkenaan, pada mulanya dijadual diadakan pada 11 Julai lalu.

Bagaimanapun, pihak media yang pergi untuk membuat liputan mesyuarat berkenaan, dimaklumkan bahawa ianya telah ditangguhkan tetapi alasan yang diberikan.

Pihak media difahamkan bahawa mesyuarat itu telah ditunda kepada 31 Julai, tetapi ianya tidak menjadi kenyataan.

Terbaru, Malaysiakini diberitahu bahawa mesyuarat kali ini akan diadakan Ahad ini bertempat di sebuah hotel Bayan Baru yang di luar bahagian berkenaan.

Bagaimanpun, sehingga ini tidak dapat dipastikan agenda mesyuarat Ahad ini dan sama ada rancangan untuk melantik semula Ahmad menerajui bahagian tersebut.

Ketika dihubungi Malaysiakini Selasa lalu, Ahmad berkata mesyuarat itu terpaksa ditangguhkan lagi kerana "masalah logistik".

Bagaimanapun beliau tidak menjelaskan apakah sebenarnya masalah yang dimaksudkannya itu.

Dan sidang akhbar Ahmad petang ini dijangka dapat menjawab segala persoalan yang berbangkit selama ini.

Sidang akhbar tersebut akan diadakan di ibupejabat Umno bahagian Bukit Bendera jam 5 petang ini.

Mac lalu, kesemua 36 ahli jawatankuasa bahagian itu meletak jawatan bagi memberi laluan kepada Ahmad mengetuai semula bahagian tersebut - langkah yang dikatakan tidak dipersetujui oleh Gerakan.

Pada September 2008, Ahmad digantung keahliannya dan dilucutkan hak-haknya dalam parti selama tiga tahun ekoran didakwa membuat kenyataan yang berbaur perkauman terhadap masyarakat Cina.

Keadaan menjadi bertambah buruk apabila Ahmad membuat kenyataan menggesa Gerakan supaya keluar dari BN dan manakala seorang penyokongnya telah bertindak mengoyak gambar pemangku presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.

Bagaimanapun pada Disember tahun lalu, MT mengambil keputusan untuk menarik semula penggantungan itu.

Tiada ulasan: