Jumaat, 6 Ogos 2010

Ahmad Ismail tidak tanding semula, mahu berehat setahun

TERKINI
THE MALAYSIAN INSIDER

GEORGE TOWN — Datuk Ahmad Ismail, pemimpin Umno Pulau Pinang yang mencetuskan kontroversi dua tahun lalu dengan melabel masyarakat Cina sebagai “pendatang”, petang tadi mengumumkan tidak akan bertanding semula jawatan Ketua Umno Bahagian Bukit Bendera.

Menurut Ahmad, beliau tidak akan bertanding - dalam pemilihan baru yang diadakan semula — bagi membantu MCA dan Gerakan memperoleh sokongan masyarakat Cina di negeri dalam pilihan raya umum ke-13.

Ahmad berkata beliau akan berehat selama setahun daripada politik.

Bahagian itu dijadual mengadakan semula persidangan mereka Ahad ini selepas ditangguhkan dua kali ekoran masalah teknikal.

Ia sepatutnya berlangsung 11 Julai lalu dan kemudian pada 31 Julai tetapi ditangguhkan atas alasan tiada lokasi sesuai untuk persidangan.

Ahmad telah digantung daripada semua jawatan selama tiga tahun ekoran kenyataan melabel Cina pendatang pada September 2008 dan hukuman itu diakhiri akhir tahun lalu selepas rayuan diterima Majlis Teringgi Umno.

Ekoran keputusan MT itu, keseluruhan ahli jawatankuasa bahagian tersebut melepaskan jawatan mereka bagi membolehkan pemilihan baru diadakan dan Ahmad kembali memegang jawatan ketua bahagian.

“Meskipun kedatangan semula saya akan memperkukuhkan Umno Bukit Bendera, tetapi saya tidak mahu usaha parti-parti komponen untuk mendapatkan semula sokongan rakyat terjejas kerana saya,” kata beliau pada sidang media di sini hari ini.

Ahmad bagaimanapun menegaskan, beliau akan terus sokong Umno atas kapasiti sebagai penasihat Bahagian Bukit Bendera.

Sehubungan itu Ahmad menggesa kesemua komponen BN terus membantu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang juga Presiden Umno dalam merealisasikan konsep 1 Malaysia.

Katanya, beliau berharap kesemua parti tidak menunggu pilihan raya umum ke-13, sebaliknya mula bekerja dengan segera khususnya dalam mendaftarkan pengundi baru.

Ahmad juga berkata, beliau tidak dikenakan sebarang tekanan agar tidak bertanding semula tetapi keputusan diambil selepas pertimbangan secara mendalam.

“Dalam Umno tiada soal adanya tekanan (dikenakan),” katanya lagi sambil menambah pertemuan beliau dengan Najib sebelum ini hanya berkisar pada soal perpaduan nasional dan pemulihan ekonomi, bukannya jawatannya di bahagian itu.

Pemilihan baru diadakan apabila keseluruhan 36 ahli jawatankuasanya meletakkan jawatan dan ia dibuat untuk memenuhi ‘janji’ mengembalikan kerusi tersebut kepada Ahmad.

Peletakan jawatan itu bagi membuka laluan untuk memilih semula Ahmad sebagai ketua bahagian tersebut.

Bukit Bendera juga merupakan bahagian pertama menggunakan sistem pemilihan baru ekoran pindaan perlembagaan Umno tahun lalu.

Sementara Ahmad menjalani hukuman, bahagian itu diketuai oleh Datuk Abdul Jalil Ariffin.

Abdul Jalil mengambil alih jawatan ketua bahagian selepas Ahmad digantung daripada jawatannya, di mana pemilihan bahagian diadakan beberapa minggu selepas itu.

Tiada ulasan: