Sabtu, 7 Ogos 2010

Agensi selia nafkah mangsa cerai bukan Islam dikaji

BERNAMA


Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sedang mengkaji penubuhan sebuah agensi bagi mengawal selia pemberian nafkah kepada kanak-kanak mangsa penceraian yang membabitkan keluarga bukan Islam.

Timbalan Menterinya, Senator Heng Seai Kie berkata, agensi itu akan bertindak mengikut Akta Memperbaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Penceraian) Akta 1976.

"Agensi ini dapat menukar proses pemberian nafkah daripada proses perundangan kepada pentadbiran yang lebih mudah dan cepat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar Pembangunan Undang-Undang Keluarga Abad ke-21 di Universiti Multimedia Malaysia, Bukit Beruang di Melaka hari ini.

Beliau berkata, agensi itu akan mempunyai kuasa untuk menentukan jumlah nafkah, mengarahkan majikan menolak gaji ibu bapa, mencadangkan kepada mahkamah mengambil alih harta atau simpanan deposit ibu bapa yang bekerja sendiri dan mencadangkan kepada kerajaan membekukan pembaharuan cukai jalan, lesen memandu, lesen perniagaan dan pasport.

Katanya, setakat ini tiada cadangan untuk meluaskan bidang kuasa agensi ini kepada keluarga Islam kerana Mahkamah Syariah sedia ada dilihat mampu mengawal selia proses pemberian nafkah.


Tiada ulasan: