Jumaat, 27 Ogos 2010

108 saman dikeluar dalam Ops Jelang Raya di PJ

BERNAMA

PETALING JAYA – Polis Trafik Selangor mengeluarkan 108 saman ke atas penunggang motosikal dalam satu operasi menjelang Hari Raya di laluan motosikal Lebuhraya Persekutuan menghala Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Pegawai Penguatkuasa Trafik Selangor ASP Hambazi Abd Rahman berkata sebanyak lima kesalahan dikesan dalam operasi tersebut yang dijalankan dari jam 9 pagi hingga 11 pagi tadi.

“Kesalahan yang dilakukan ialah tidak mempunyai cukai jalan, penunggang motosikal tiada lesen, motosikal tidak mempunyai cermin sisi, tiada lampu brek dan nombor plet yang tidak ikut peraturan,” katanya kepada pemberita selepas operasi itu.

Hambazi berkata operasi itu diadakan bertujuan untuk membanteras jenayah dan mengesan kenderaan yang dilaporkan dicuri di sekitar daerah Petaling Jaya.

“Sekarang ini samseng jalanan semakin berleluasa, dengan ini saya ingin mengingatkan ibu bapa agar memberikan perhatian sewajarnya selain sentiasa memantau pergerakan aktiviti anak-anak mereka,” katanya.

Operasi itu membabitkan 12 anggota trafik termasuk pegawai dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor dan kira-kira 800 penunggang motosikal diperiksa.

Tiada ulasan: