Khamis, 1 Julai 2010

Ya, saya dan Rizal bercinta - Fasha Sandha

UTUSAN ONLINE

KUALA LUMPUR - Aktres yang penuh kontroversi, Fasha Sandha, 26, akhirnya mengaku bercinta dengan bekas suami pelakon popular, Nora Danish iaitu Toh Muda Rizal Ashram Ramli.

Menurut Fasha, dia dan Rizal mula menjadi pasangan kekasih selepas peristiwa Rizal membuat kejutan dengan datang ke set penggambarannya di Pulau Lang Tengah, Terengganu menaiki helikopter.

"Saya terharu dengan kesungguhan dan keberanian Rizal menunjukkan cintanya dan saya rasa itulah masa terbaik untuk menerima cintanya.

"Keluarga saya dan Rizal mengetahui kami berdua bercinta. Tetapi saya tidak tahu atau ambil kisah penerimaan mereka kerana kami belum merancang mendirikan rumah tangga dalam masa terdekat ini.

"Kami bahagia sekarang. Rizal ada menghadiahkan sebentuk cincin tanda saya kini miliknya ketika di Pulau Lang Tengah," kata Fasha pada sidang akhbar drama bersiri Duyong Aridinata di sini hari ini.

Pada 17 Mei lalu, Rizal dan rakan-rakannya membuat kejutan kepada pelakon filem Anak Halal itu dengan hadir menaiki helikopter peribadi ketika Fasha menjalani penggambaran drama bersiri terbarunya, Duyong Aridinata di sana.

Helikopter peribadi milik Rizal yang merupakan ahli perniagaan berjaya itu mendarat berhampiran calet yang didiami Fasha bersama krew drama.

Rizal kemudian dilihat menjamu selera makan tengah hari bersama Fasha dan krew-krew yang lain.

Kata Fasha, dia mengumumkan kisah percintaannya hari ini kerana berasa sudah sampai waktunya dia berkongsi mengenainya bersama orang ramai dan tiada apa lagi yang perlu dirahsiakan.

"Saya harap selepas pengakuan ikhlas saya ini, orang ramai dapat menerimanya kerana sekarang ini saya dan Rizal sangat bahagia bersama," katanya.

Tiada ulasan: