Sabtu, 3 Julai 2010

Warga Emas Disamun Dan Dibunuh

BERNAMA

IPOH: Seorang warga emas wanita ditemui mati selepas dipercayai dihentak dengan pasu bunga dalam kejadian samun di rumahnya di Buntung di sini malam semalam.

Mangsa Chong Sing Moi, 62, yang cedera parah di kepala meninggal dunia di bilik tidur, ditemui anak lelaki mangsa yang pulang daripada kerja malam.

Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Azisman Alias berkata kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 11.30 malam ketika mangsa, yang berada seorang diri dihampiri oleh suspek yang memecah masuk ke rumahnya.

Beliau berkata berlaku pergelutan antara mangsa dengan suspek, yang dipercayai menghentak kepala mangsa dengan pasu bunga, katanya di sini hari ini.

Beg duit mangsa telah dilarikan suspek, kata Azisman.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat.

Polis sedang menyiasat kes itu, yang diklasifikasikan sebagai kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, katanya.

Azisman meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian itu supaya menghubungi pihak polis di nombor telefon 05-2451500 untuk membantu siasatan. -

Tiada ulasan: