Jumaat, 16 Julai 2010

Video Bukti UTK Halang Kenderaan Sultan, Bercanggah Jawapan Hishammuddin


Oleh Faizal Ezzany

KUALA LUMPUR - Video serta gambar yang didedahkan Ahli Parlimen Puchong, Gobimn Singh Deo membuktikan pasukan Unit Tindakan Khas menghalang kenderaan Sultan Kelantan yang berada dalam rombongan ketika dalam perjalanan menuju ke lapangan terbang serta bercanggah dengan keterangan Menteri Dalam Negeri.

Sehubungan itu Gobind mendesak Datuk Seri Hishammuddin Hussein menjelaskan perkara sebenar yang berlaku sewaktu rombongan membawa Tuanku Ismail Petra Tuanku Yahya Petra dihalang anggota polis ke Lapangan Terbang Sultan Ismail di Pengkalan Chepa untuk menerima rawatan di Singapura 4 Mei lalu.

Pendedahan melalui gambar dan video yang telah dirakam oleh salah sebuah kenderaan yang mengikuti rombongan Tuanku Ismail Petra yang membuktikan sebuah kereta yang di naiki beberapa anggota polis menahan rombongan tersebut.

Paparan video itu berlainan sama sekali dengan keterangan yang diberikan oleh Hishammuddin dalam parlimen.

"Saya kesal dan jelas kerana apa yang dikatakan oleh Menteri betul-betul bercanggah dengan apa yang kita lihat melalui gambar dan juga video ini. Jelas di sini ada pihak polis yang mengikuti rombongan tersebut serta mengawal keselamatan Sultan Kelantan.

"Selain itu juga rombongan tersebut menghala ke lapangan terbang bukannya ke hospital dan yang paling jelas ia bercanggah dengan jawapan Menteri bahawa kerana terdapat sebuah kereta menghalang perjalanan Sultan Kelantan serta beberapa anggota polis yang memakai topeng penutup muka yang lengkap dengan senjata keluar daripada kenderaan tersebut setelah berjaya menahan kenderaan yang membawa Sultan Kelantan itu.

"Video ini jelas menunjukkan anggota polis telah melakukan serbuan ke atas rombongan tersebut secara paksa dan anggota polis yang menggunakan senjata yang dilengkapi penunjuk sasaran 'laser' telah menghala senjata mereka ke arah kenderaan yang dinaiki Sultan Kelantan," tegas Gobind.

Tambah beliau lagi Hishammuddin telah mengelirukan Dewan dengan jawapan yang diberikan jika dibandingkan apa yang sebenarnya berlaku.

"Menteri telah mengelirukan Dewan dengan jawapan lisannya ini, saya mahu Hishammuddin jelaskan perkara sebenar kerana perkara ini amat serius dan ia mencemarkan kredibiliti KDN itu sendiri.

"Apakah kita perlu percayakan KDN? Saya ingin serahkan video dan gambar kepada Menteri Dalam Negeri agar beliau tahu kejadian yang sebenar bukannya merujuk kepada laporan pegawai bawahan sahaja," kata beliau lagi.

Beliau kesal dengan jawapan KDN kepada pertanyaan lisannya yang mahukan Menteri menyatakan kos terbabit dalam menyekat dan menahan perjalanan Sultan Kelantan selain bilangan polis yang terlibat.

"Melalui jawapan bertulis yang saya terima Menteri menjawab sebenarnya pihak polis bukannya menyekat ataupun menghalang perjalanan Sultan Kelantan seperti dakwaan, tugas polis pada masa itu ialah untuk memastikan perjalan baginda selamat dan lancar. Selain itu juga bagi memastikan baginda terkawal, tugas ini dipikul oleh 77 orang pegawai dan anggota polis yang melibatkan peruntukan sebanyak RM5,616.00," kata Gobind pada sidang media di parlimen semalam.

Pada 4 Mei lepas Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra ditahan oleh sepasukan anggota dan pegawai polis dipercayai daripada Unit Tindakan Khas (UTK) di luar Istana Mahkota, Kubang Kerian bersama dua orang doktor dan beberapa orang pengawal peribadi Sultan Kelantan.

Ketika ditahan putera ketiga Sultan Kelantan itu dikatakan baru sahaja keluar daripada kenderaan kira-kira 50 meter dari Istana Mahkota. Kejadian dikatakan berlaku pada kira-kira pukul 7.30 malam.

Sultan Kelantan dan Raja Perempuan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid juga didakwa berada di tempat kejadian.

Mereka diserbu oleh UTK ketika rombongan sedang dalam perjalanan menuju ke Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, di Pengakalan Chepa.

Tiada ulasan: