Rabu, 21 Julai 2010

Umno Kelana Jaya: Berhenti desak Muhammad Taib letak jawatan ketua bahagian

TERKINI

KUALA LUMPURai — Timbalan Ketua Umno Kelana Jaya Datuk Yahaya Bujang hari ini mengesahkan Tan Sri Muhammad Muhd Taib telah memberikan mandat sepenuhnya kepada beliau untuk menjalankan tugas-tugas sebagai ketua bahagian itu bermula April 2009.

Sehubungan itu, beliau meminta supaya semua pihak menghentikan desakan terhadap Muhammad, yang juga bekas menteri besar Selangor supaya melepaskan jawatan sebagai ketua bahagian tersebut.

“Sebenarnya Tan Sri Muhammad telah memberikan mandat sepenuhnya kepada saya selaku Timbalan Ketua Umno Bahagian Kelana Jaya untuk menjalankan tugas-tugas Ketua Umno bahagian bermula dari April 2009.

“Perkara ini juga telah dimaklumkan kepada semua ahli jawatankuasa bahagian, malah saya telah memaklumkan perkara ini kepada Jawatankuasa Perhubungan Umno Negeri dalam satu mesyuarat yang dipengerusikan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor bahawa saya telah diberi mandat untuk menjalankan tugas-tugas Ketua Umno bahagian Kelana Jaya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Yahaya berkata, sepanjang menjalankan tugas-tugas ketua Umno bahagian, beliau tidak menghadapi sebarang masalah dan mendapat sokongan penuh daripada ahli jawatankuasa bahagian termasuk sayap Pemuda, Wanita dan Puteri.

“Banyak program dan aktiviti parti termasuk Program Masyarakat telah dilaksanakan tanpa campur tangan Tan Sri Muhammad dan ia dibentangkan dalam mesyuarat bahagian untuk dibincangkan.

“Jadi tidak timbul soal Umno Kelana Jaya pincang tanpa ketua, malah semua perancangan dan aktiviti parti berjalan dengan baik dan mendapat sokongan semua pihak,” kata beliau.

Seorang perwakilan Umno Bahagian Kelana Jaya Atan Wahab menggesa Muhammad memberi kata putus sama ada mahu terus kekal menerajui Umno bahagian itu atau meletak jawatan.

Beliau yang mewakili Umno Cawangan SS5A, Kelana Jaya memberitahu, gesaan itu dibuat berikutan tindakan ‘memencil diri’ Muhammad terhadap perjalanan Umno bahagian berkenaan selama hampir dua tahun.

“Tindakan beliau yang lebih banyak berdiam diri hanya akan memudaratkan parti.

“Sekiranya beliau gagal untuk memberikan komitmen kepada Umno Kelana Jaya, saya mencadangkan agar beliau berundur atau menyerahkan jawatan itu kepada timbalannya iaitu Datuk Yahaya Bujang,” katanya.

Sementara itu Veteran Umno Abu Samah Mahat berkata, sebagai seorang pemimpin yang diamanahkan untuk menerajui parti, Muhammad seharusnya memastikan Umno bahagian itu mencapai segala objektif dan fungsi yang ditetapkan.

“Jika rasa tidak mampu atau tidak mahu lagi memberi komitmen, beri peluang kepada orang lain yang ingin menabur bakti kepada parti dan rakyat,” katanya.

Yahaya berkata isu tersebut tidak perlu dibawa ke mesyuarat Majlis Tertinggi Umno kerana berpendapat isu tersebut adalah kecil dan banyak kali isu besar yang perlu diberikan keutamaan termasuk kepentingan Melayu dan Negara.

“Saya ingin mengatakan bahawa gesaan daripada seorang perwakilan yang mahu Tan Sri Muhammad meneruskan tugas sebagai Ketua Umno bahagian atau meletak jawatan, pada Persidangan Umno Bahagian Kelana Jaya pada 11 Julai 2010 adalah pandangan peribadi beliau dan bukan kehendak semua perwakilan yang hadir.

“Tan Sri Muhammad adalah seorang ahli politik yang matang dan berpengalaman luas dalam parti, saya kira beliau lebih arif dan memahami kehendak ahli parti, apatah lagi ahli parti dan rakyat tahu tentang kewibawaan beliau dan jasa-jasa beliau dalam membangunkan negeri Selangor.

“Justeru saya menyeru semua pihak agak desakan terhadap Tan Sri Muhammad dihentikan kerana saya langsung tidak menghadapi sebarang masalah dalam menjalankan tugas Ketua Umno Bahagian Kelana Jaya,” katanya.

Beliau berkata sekiranya menghadapi masalah dalam menguruskan pentadbiran Umno Bahagian Kelana Jaya beliau akan membawa perkara tersebut kepada Pengerusi atau Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor untuk di perbincangkan.

Tiada ulasan: