Sabtu, 3 Julai 2010

Umno Jangan Tenggelam NGO Bela Melayu

PUTRAJAYA: Umno diingatkan supaya tidak tenggelam dengan peranan yang dimainkan oleh pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam usaha memperjuangkan hak dan kepentingan orang Melayu.

Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, parti itu tidak perlu takut untuk memainkan peranannya bagi membela hak Melayu yang menjadi wadah perjuangannya selama ini.

"Sekarang ini ada orang kata sesetengah NGO yang ada lebih lantang daripada Umno, seolah-olah perjuangan membela nasib Islam dan bangsa lebih diambil berat oleh kumpulan NGO.

"Sedangkan agenda itu adalah agendakita, tapi sekarang Umno macam tenggelam... kita tidak dilihat sehebat dulu, kenapa Umno dilihat lesu?

"Umno sebagai wadah perjuangan orang Melayu tidak harus rasa takut untuk terus bersuara dengan lantang bagi pertahankan hak Melayu,kepentingan Melayu, agama Islam dan bahasa Malaysia," katanya semasa menyampaikan ucapan perasmian pada mesyuarat Umno Bahagian Putrajaya di sini malam ini.

Muhyiddin yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan berkata, ahli parti tidak perlu takut jika dilihat terlalu bersifat ultra Melayu.

"Jangan takut kalau orang tuduh kita terlalu ultra Melayu, itu memang hak kita... kalau kita tak sedia pertahankannya, orang akan persoalkan pula apa tujuan perjuangan kita.

"Tapi ingin saya tegaskan, dalam masa yang sama kita tetap jaga kepentingan kaum lain," katanya.

Selain itu Timbalan Perdana Menteri juga menyeru supaya ahli Umno tidak leka dan mengambil mudah tanggungjawab yang ada terutamanya bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

"Di Putrajaya kita menang dulu, tapi kita jangan ambil mudah, trend semasa sudah berubah.

"Dalam situasi sekarang ini waktu kita tak banyak, adakah kita punya cukup masa untuk turun ke bawah buat perubahan... inilah cabaran yang harus kita hadapi sekarang," katanya.

Katanya lagi, Umno bersama parti komponen lain dalam Barisan Nasional (BN) perlu bergerak pantas untuk mendekati dan memahami kehendak rakyat.

"Umno sepatutnya perlu bergerak lebih pantas, kita perlu ambil tahu apayang dikehendaki oleh rakyat... sebab itulah kita anjurkan program Juara Rakyat," katanya.

Tambah Muhyiddin lagi, menjelang pilihan raya umum akan datang, parti itu perlu mengambil langkah yang lebih radikal bagi meningkatkan keyakinan rakyat.

"Dalam tempoh yang begitu singkat, kita perlu mempelopori langkah yang radikal iaitu dengan memulihkan keyakinan ahli parti dan masyarakat bahawa Umno masih berupaya bangkit dan berubah melalui Gagasan1Malaysia seperti yang dilaungkan oleh Perdana Menteri.

"Kita perlu yakinkan rakyat bahawa perjuangan Umno adalah perjuanganyang betuln" katanya.

Tiada ulasan: