Khamis, 22 Julai 2010

Umno-BN tikam umat Islam dari belakang


mahfuz1 Oleh Staf FMT

PETALING JAYA: Parti Islam Semalaysia (PAS) kesal dengan tindakan Umno-Barisan Nasional (BN) menikam umat Islam dan rakyat Palestin dari belakang.

Naib Presiden Datuk Mahfuz Omar berkata, "bantuan dihulur kepada rakyat Palestin tetapi pada masa yang sama membantu mengukuhkan ekonomi negara haram Israel.

"Ini terbukti dengan berlabuhnya kapal dagang milik Israel di Pelabuhan Klang baru-baru ini serta keputusan kabinet membenarkan hubungan dagang dengan Israel dibuat secara rahsia," kata Mahfuz melalui sms kepada Free Malaysia Today, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, PAS sekali-kali tidak akan bekerjasama dengan Umno yang menjadi sekutu Zionis/Yahudi.

Umno secara jelas melalui pemimpin utamanya telah melantik syarikat perunding Apco yang merupakan proksi kepada gerakan zionis antarabangsa yang menjaga kepentingan politik Israel dan Amerika Syarikat sebagai penasihat kerajaan Umno-BN.

"Perbuatan ini satu pengkhianatan kepada perjuangan umat Islam dan rakyat Palestin," tegas beliau.

Umno sesak nafas

PAS katanya, akan terus memperkukuhkan hubungan dan kerjasama dalam Pakatan Rakyat bagi membina Malaysia baru dan terus melindungi Islam dan apa sahaja yang berkaitan dengan Melayu dan Bumiputera yang terdapat dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Di samping itu, PAS akan menjamin hak semua kaum dengan menjadikan prinsip Keadilan sebagai teras pembangunan, sesuai dengan Islam sebagai agama pembawa rahmat seluruh alam," tambahnya.

"Dengan ini katanya, PAS menyeru seluruh umat Islam dan orang Melayu supaya tidak terperangkap dengan agenda politik murahan Umno yang memukul gendang perpaduan. Inilah agenda Umno pada setiap kali sesak nafas dia akan meminta oksigen dari PAS."

Mahfuz mengucapkan "terima kasih" kepada Mufti Perak Tan Sri Datuk Harussani Zakaria yang bijak membuat bacaan politik bahawa kuasa politik Melayu Umno akan hilang.

Kenyataan beliau (Harussani) menambahkan lagi keyakinan PAS untuk mengambil tempat Umno dan memberi harapan baru kepada umat Islam dan bangsa Melayu bahawa tanpa Umno umat Islam dan bangsa Melayu mampu berdiri megah dan gagah untuk muncul dengan kuasa baru politik bersama semua kaum di bawah payung Pakatan Rakyat.

Mahfuz berkata, "kami dalam PAS menyeru seluruh umat Islam dan orang Melayu untuk bersama menyertai PAS bagi memikul tugas baru.

"Tugas baru itu ialah dengan meletakkan kembali Melayu dan Bumiputra pada landasan yang betul dan membangunkan Malaysia bersama semua kaum sebagai warga negara Malaysia yang bertanggungjawab," ujar beliau.

Tiada ulasan: