Jumaat, 16 Julai 2010

UDA Holdings: RM5 bilion maju tapak Penjara Pudu

FREE MALAYSIA TDAY

0 KUALA LUMPUR: UDA Holdings Bhd akan merubah wajah kawasan Penjara Pudu menjadi ikon baru Kuala Lumpur yang bakal dikenali sebagai Bukit Bintang City Centre membabitkan kos RM5 bilion.

Pengerusinya, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, UDA sudah menyiapkan pelan pembangunannya dan akan menyerahkan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam tempoh terdekat ini bagi kelulusan.

Beliau berkata, projek Bukit Bintang City Centre meliputi kawasan seluas 7.76 hektar itu akan dibangunkan dalam beberapa fasa membabitkan ruang perniagaan, menara pejabat, apartmen servis, hotel, pusat komersial dan rekreasi serta hab pengangkutan awam mini.

“Ini adalah projek pembangunan bercampur pertama yang akan dilancarkan UDA di pusat bandar Kuala Lumpur.

“Kami anggarkan nilai pembangunan kasar (GDV) projek ini kira-kira RM5 bilion dan jika mendapat kelulusan cepat daripada DBKL, lazimnya dalam tempoh tiga bulan, kami boleh membuat persiapan untuk memulakan projek,” katanya.

Berdasarkan pelan pembangunan Bukit Bintang City Centre itu, tapak Penjara Pudu yang menyimpan pelbagai kisah sejarah banduan sejak lebih 100 tahun lalu itu akan dibangunkan dengan dua menara kondominium setinggi 36 tingkat mengandungi 700 unit, podium runcit setinggi dua tingkat dengan 24 unit ruang niaga serta pusat beli belah lima tingkat.

Nur Jazlan menjelaskan, tanah Penjara Pudu itu dipindah hak milik oleh Jabatan Pengarah Tanah dan Galian (Persekutuan) di bawah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar kepada UDA pada September tahun lalu.

UDA perlu majukan secara usahasama

Katanya, sejak itu UDA telah merangka pelan pembangunan bagi tanah itu untuk dihantar kepada DBKL, yang mana projek berkenaan dijangkakan akan mengambil masa antara 10 hingga 15 tahun untuk disiapkan.

Beliau menegaskan, berikutan saiz projek pembangunan Bukit Bintang City Centre itu, ia mungkin dilaksanakan secara usaha sama dengan syarikat berpotensi dengan UDA sebagai pemaju utamanya.

“Kami perlu menyiapkannya secara berperingkat, kerana ia mengambil masa agak panjang selain bergantung kepada keupayaan UDA termasuk aspek kewangan. Bagaimanapun, ia mungkin lebih cepat jika dilaksanakan secara kerjasama,”jelasnya.

Nur Jazlan turut memberi jaminan, reka bentuk dan pelan pembangunan Bukit Bintang City Centre akan terus memelihara kepentingan Bumiputera dengan memberikan keutamaan kepada penyertaan syarikat serta kontraktor kaum itu.

“UDA juga akan lebih mengutamakan jualan ruang niaga kepada Bumiputera, bagaimanapun hanya kepada mereka yang benar-benar berdaya maju serta mempunyai keupayaan kewangan yang tinggi.

“Pembangunan semula tanah Penjara Pudu ini tidak boleh disamakan dengan pembangunan lain seperti Pertama Kompleks misalnya, yang mana ruang niaganya diberikan kepada usahawan Bumiputera yang baru berniaga dan tidak mempunyai keupayaan kewangan yang tinggi,” katanya.

Beliau juga berkata, UDA yang kini di bawah Kementerian Kewangan yang diperbadankan sedang menjalani proses penyusunan semula supaya kembali fokus kepada matlamat asalnya sebagai perbadanan yang menampung kekurangan penyertaan Bumiputera di kawasan bandar terutama dalam pemilikan tanah, kediaman dan ruang perniagaan.

Tiada ulasan: