Isnin, 5 Julai 2010

Umno Didakwa Salah Guna Sekolah, Adakan Mesyuarat Perwakilan

TV SELANGOR


Larangan menggunakan bangunan sekolah atau harta benda sekolah sebagai gelanggang politik sudah lama dilarang digunakan di negara ini. Ini bagi mengelakkan prasarana kerajaan disalahguna untuk kepentingan parti.

Namun tinjauan TV Selangor di Sekolah Agama Menengah Tinggi Tengku Ampuan Rahimah, Sungai Manggis, Banting mendapati satu mesyuarat perwakilan Umno BN kawasan Kuala Langat diadakan di sekolah tersebut.

Krew TV Selangor tiba di perkarangan sekolah sekitar jam 8.30 pagi, dan mendapati dewan and tiang-tiang di persiar kaki diselubungi bendera parti Umno.

Malah ketika krew TV Selangor hendak masuk ke dewan membuat liputan berhubung majlis perwakilan tersebut, seorang wakil ahli jawatankuasanya melarang dari membuat liputan dengan alasan majlis tersebut dibuat secara tertutup.

TV Selangor mendapatkan komen bekas Presiden Kesatuan Guru Lepasan Maktab Semenanjung Malaysia, Nordin Mahmud yang melahirkan rasa duka citanya apabila sekolah itu digunakan untuk kepentingan parti politik tertentu.

“Pada saya kalau swasta, kebanyakan boleh disewakan dewan itu, tetapi kalau sekolah itu milik kerajaan saya berasa dukacita sebab kalau parti-parti pembangkang selalunya dihalang menggunakan bangunan kerajaan.

“Tetapi bagaimana pula Umno sendiri menggunakan ini seolah-olah ertinya orang lain boleh tetapi kita tidak boleh, ini berereti tidak baik,” katanya.

Nordin berkata Umno BN harus menilai semula perbuatan melampau mereka ini apabila bersikap tidak adil dengan parti pembangkang apabila tidak membenarkan parti dari Pakatan Rakyat turut sama menggunakan harta benda sekolah.

Beliau menegaskan sekiranya kerajaan selama ini menguatkuasakan sekolah tidak boleh dijadikan gelanggang politik bagi mana-mana parti, ia harus diikuti dan tidak dilanggari larangan tersebut.

“Sewajarnya begitu, kalau sekolah itu boleh digunakan untuk tujuan politik semua orang tertakluk tidak kira daripada parti kerajaan atau pembangkang, ini tidak menghormati peraturan yang sedia ada dibuat,” katanya.

Tiada ulasan: