Khamis, 1 Julai 2010

TPM: Keputusan mansuh UPSR, PMR tahun ini




KUALA LUMPUR — Keputusan sama ada kerajaan bakal memansuhkan peperiksaan UPSR dan PMR ataupun sebaliknya akan ditentukan tahun ini, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

“Kami akan membuat keputusan tahun ini juga sama ada ia boleh dimulakan tahun depan,” kata Muhyiddin (gambar) yang juga Menteri Pelajaran kepada pemberita di sini.

Semalam Muhyiddin berkata Kementerian Pelajaran akan mengadakan sesi meja bulat bagi membincangkan secara mendalam maklumbalas terhadap cadangannya mememansuhkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah dan Penilaian Menengah Rendah.

Katanya, semua pihak berkepentingan akan dipelawa mengambil bahagian dalam sesi itu untuk memberi pandangan masing-masing.

Muhyiddin sebelum ini menyatakan bahawa Kementerian Pelajaran sedang mengkaji kemungkinan memansuhkan UPSR dan PMR di masa hadapan kerana aspek pembelajaran ketika ini dilihat lebih berorientasikan peperiksaan sehingga tujuan utama untuk memberikan pendidikan menyeluruh tidak dapat dilakukan sepenuhnya.

Antara kemungkinan yang sedang dikaji ialah UPSR dan PMR akan hanya diteruskan sebagai penilaian pencapaian pelajar di peringkat sekolah sahaja, dan bukannya sebagai peperiksaan awam.

Pada masa yang sama beliau meminta semua pihak memberi pandangan terhadap cadangan itu.

Tiada ulasan: