Sabtu, 3 Julai 2010

TLDM Sedia Cadangkan Pembatalan Kontrak Syarikat Jika Sebar Maklumat

BERNAMA

LUMUT: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) tidak akan teragak-agak mencadangkan pembatalan kontrak mana-mana syarikat atau pengambilan tindakan undang-undang berikutan terdapat trend penyebaran maklumat berdarjah negara, termasuk kesiagaan aset strategik kepada pihak yang tidak berkenaan.

Panglima TLDM Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar berkata maklumat berkaitan kapal selam juga sengaja dimanipulasi atas dasar keterbukaan oleh pihak tertentu untuk mendapatkan perhatian umum dan kepentingan tertentu.

"Ingin saya tegaskan di sini bahawa sebarang kebocoran maklumat mengenai status kesiagaan aset TLDM sama ada melalui kelemahan sistem pengurusan maklumat mahupun disebabkan oleh mana-mana individu, institusi kerajaan atau syarikat yang berurusan dengan TLDM boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Rahsia Rasmi negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sambutan kepulangan kapal selam kedua negara Kapal Diraja (KD) Tun Razak di Pangkalan TLDM di sini.

Sambutan KD Tun Razak yang itu diserikan dengan keberangkatan Sultan Perak Sultan Azlan Shah dan Raja Dihilir Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa sementara Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang juga Kapten Yang Dipertua TLDM turut menaiki kapal selam itu dari Langkawi, Kedah.

Beliau juga berkata sebagai negara pengendali kapal selam, segala aspek keselamatan terutama nyawa anak-anak kapal sentiasa diutamakan di mana pengoperasian yang selamat dan senggaraan yang ketat perlu dipatuhi sepenuhnya tanpa sebarang kompromi.

Abdul Aziz berkata kerosakan walaupun kecil tidak boleh dipandang ringan dan tidak boleh disamakan dengan kerosakan biasa aset permukaan.

"TLDM akan sentiasa memastikan aspek keselamatan ini diberi keutamaan pada sebilangan masa kerana prosedur yang ketat adalah tunjang kepada kejayaan pengendalian kapal selam," katanya.

Mengenai KD Tun Razak yang tiba di sini, beliau berkata kapal selam kedua negara itu berjaya melaksanakan 85 peratus selaman iaitu 40 hari daripada 47 hari berada di laut.

"Secara keseluruhannya, KD Tun Razak telah berjaya mengharungi pelayaran selama 64 hari dan perjalanan sejauh 7,283 batu nautika atau 13,488 kilometer merentasi Laut Mediterranean, Laut Merah, Teluk Aden, Laut Arab, Lautan Hindi dan akhir sekali Selat Melaka," katanya.

Beliau berkata kejayaan itu tidak banyak dikongsi oleh sesetengah negara pengendali kapal selam kerana mereka membawa pulang kapal selam dengan menggunakan perkhidmatan kargo.

Tiada ulasan: