Ahad, 18 Julai 2010

Tindakan empat ADUN bahagian Setiu ‘hina’ pemimpin Umno pusat



KUALA LUMPUR — Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Hussein menyifatkan tindakan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Setiu yang tidak hadir ke persidangan perwakilan Umno Bahagian Setiu yang dirasmikan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai tidak menghormati kepimpinan tertinggi dan parti.

Beliau berkata masalah yang membelenggu bahagian Setiu kalau dilihat dalam konteks agenda nasional ia boleh memberikan kesan kurang baik kepada parti.

“Ketidakhadiran wakil-wakil rakyat semasa Timbalan Perdana Menteri merasmikan Umno bahagian Setiu merupakan satu perkara yang mengecewakan saya selaku Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu.

“Ini kerana apabila kita lihat di peringkat nasional masalah di Setiu akan menjadi tanda tanya kerana sepatutnya kita menghormati parti sebab kita meletakkan pertimbangan parti perjuangan untuk agama, bangsa dan tanah air.

“Sebab itu kekecewaan Timbalan Perdana Menteri turut dikongsi oleh saya dan kita akan menyedarkan kepada pihak-pihak berkenaan bahawa kedudukan dan jawatan yang mereka pegang sebenarnya datang daripada sokongan orang ramai, datangnya pengiktirafan daripada parti,” katanya ketika sidang media selepas merasmikan Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan Umno Seputeh di sini.

Semalam empat ADUN kawasan Setiu tersebut adalah Ramlan Ali (Jabi), Abd Halim Othman (Permaisuri), Asha’ari Idris (Langkap) dan Khazan Che Mat (Batu Rakit) tidak hadir pada persidangan itu yang dirasmikan Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi Umno.

Hishammuddin (gambar) berkata walau apa jua alasan yang diberikan keempat-empat ADUN tersebut ia boleh menjejaskan dan mencemarkan Umno Setiu itu sendiri.

“Saya kesal kerana mereka buat begitu kepada Timbalan Perdana Menteri, itu bukan cara kita sebagai orang Melayu.

“Sekurang-kurangnya kita mesti menghormati perasmi kita lebih-lebih lagi Timbalan Perdana Menteri, menghormati bahagian kita kerana bahagian lebih penting daripada diri kita sendiri dan menghormati parti kerana siapalah kita tanpa parti,” katanya.

Mengenai usaha kerajaan perpaduan antara Barisan Nasional (BN) dan PAS, Hishammuddin berkata perkara tersebut masih belum dibincangkan secara mendalam di semua peringkat temasuk pihak pengurusan dan biro politik.

“Bagi kita apa yang paling penting adalah keikhlasan tapi sehingga kini kita masih belum berbincang secara mendalam tentang hubungan Umno dengan PAS.

“Kalau benar kita nak duduk berbincang pasal nasib bangsa, agama dan tanah air dalam konteks perjuangan Umno dan PAS maka mestilah ada satu titik pertemuan yang ikhlas dan jujur yang boleh membawa kepada satu yang membina dalam perjumpaan itu.

“Kalau tidak tiada sebab itu kita berjumpa dan berbalah,” katanya.

Hishammuddin juga menyarankan agar PAS konsisten dalam pendirian mereka untuk memperjuangkan Islam.

“Jika PAS betul-betul memperjuangkan Islam, PAS jangan berdolak-dalik dan mesti konsisten dalam pendirian mereka.

“Sebab itu saya lihat banyak luahan daripada penyokong PAS sendiri kerana pembawakan kepimpinan PAS berbeza mengikut pemimpin dan tidak sehaluan dan sekata sebab itu kita perlu ada hak dan batasan untuk berpolitik.

“Dalam hubungan antara Umno dan PAS saya tidak meletakkan harapan kepada seorang pemimpin sahaja tetapi perlu lihat secara menyeluruh,” katanya.

Tiada ulasan: