Isnin, 12 Julai 2010

Tidak serik makan durian

UTUSAN ONLINE

Ahmad Lai Bujang bersama Dayang Lily Datuk Abg. Indeh di Hospital Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR - ''Saya tidak serik, saya tetap akan makan durian.''

Demikian kata Ahli Parlimen Sibuti, Ahmad Lai Bujang yang dibenarkan pulang hari ini selepas menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat sesak nafas, Rabu lalu.

Menurutnya, kejadian itu tidak akan menyebabkannya berhenti memakan durian kerana teruja dengan keenakan raja buah tersebut.

"Mungkin saya akan berhenti makan durian selama satu hingga dua bulan kerana rasa trauma sedikit.

"Keenakan memakan durian terutamanya daripada jenis Musang King memang tidak dapat digambarkan," katanya kepada pemberita di pekarangan HKL.

Turut menemani beliau ialah isterinya, Dayang Lily Datuk Abg. Indeh, anaknya, Amelia, anak saudaranya, Dr. Roslan Mohd. dan pembantu peribadinya, Mansor Mahdar.

Ahmad Lai dikejarkan ke hospital berkenaan akibat sesak nafas selepas menikmati durian di Pesta Durian dan Promosi Daging Kambing anjuran Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani di Dewan Serbaguna Parlimen, Rabu lalu.

''Doktor telah membuat pemeriksaan dengan teliti dan mendapati sakit yang saya hadapi tiada kaitan dengan serangan jantung, strok ataupun tekanan darah tinggi.

"Saya telah pulih dengan sepenuhnya malah sepatutnya keluar hospital dua hari lepas," katanya.

Tiada ulasan: