Khamis, 8 Julai 2010

'Tidak patut tekan Suara Perkasa'

Salhan K Ahmad

Ketua pengarang Suara Perkasa Daud Ibrahim menyifatkan amaran yang dikeluarkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung laporan muka depan edisi sulung tabloid berkenaan, sebagai satu tindakan yang "tidak patut kerana akhbar lain yang menyiarkan bentuk laporan serupa tidak dikenakan tindakan".

"Kami tidak buat apa-apa salah. Alasan saya dalam memilih tajuk itu, ramai pemimpin sebelum ini yang keluarkan kenyataan tahan orang itu, orang ini bawah ISA, tapi tidak dikenakan tindakan," katanya ketika dihubungi Malaysiakini lewat petang ini.

Amaran tersebut dikeluarkan KDN hari ini berhubung laporan bertajuk "Tahan Ka Siong Bawah ISA" yang menuntut ketua pemuda MCA Datuk Dr Wee Ka Siong ditahan bawah undang-undang tersebut.

Daud menjelaskan, gesaan supaya kerajaan membuat penahanan bawah ISA pernah disuarakan ke atas pemimpin Umno Bukit Bendera Datuk Ahmad Ismail, ketua pemuda Umno Khairy Jamaluddin dan juga ke atas bekas setiausaha perdana menteri Datuk Nasir Safar.

"Tapi jadi isu sangat bila Suara Perkasa pakai tajuk begitu. Tidak patutlah beri tekanan kepada Suara Perkasa. Mungkin saya buat silap, tapi kenapa bila orang lain siar tidak dikenakan tindakan," soalnya.

Beliau juga mengesahkan telah menerima surat amaran berkenaan petang ini, namun menyifatkannya sebagai satu "teguran" kerana KDN menganggap laporan berkenaan "tidak membantu ke arah penyatuan rakyat."

Menurut sumber daripada Pertubuhan Pribumi PERKASA (PERKASA), KDN dalam suratnya kepada tabloid itu menyebut laporan muka depan itu "menjejaskan keselamatan dan memudaratkan ketenteraman awam."

Amaran tersebut diterima oleh PERKASA melalui sepucuk surat petang ini, yang dialamatkan kepada ketua pengarang akhbar itu.

Amaran berkenaan bagaimanapun tidak menyebut apa-apa syarat dikenakan berhubung permit Suara Perkasa dan tidak ada penjelasan lanjut diberikan bersabit keselamatan dan ketenteraman awam, menurut sumber itu lagi.

Tiada ulasan: