Sabtu, 24 Julai 2010

Tiada bukti lombong pasir cemar taman rekreasi

Nazri Abdullah

PUTRAJAYA: Pengarah Enviro Enhance Sdn Bhd, Geetha P. Kumaran, yang dilantik sebagai konsultan alam sekitar oleh Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) berkata, tiada sebarang bukti menunjukkan aktiviti perlombongan pasir di Olak Lempit menyumbang kepada pencemaran Taman Rekreasi Paya Indah Wetlands, Dengkil.

Bercakap pada taklimat isu pasir kepada petugas media di sebuah hotel di sini beliau berkata, aktiviti dijalankan KSSB sentiasa dipantau pihak mereka dan laporan Pelan Pengurusan Alam Sekitar AMP dihantar kepada Jabatan Alam sekitar sebulan sekali.

"Tiada bukti berlaku pencemaran di Paya Indah Wetland akibat aktiviti mengorek pasir di lombong Olak Lempit," katanya menjawab soalan wartawan.

Aktiviti mengorek pasir di tapak tersebut, katanya dibuat secara sistematik oleh KSSB termasuk sistem pengaliran air tersendiri yang diguna semula tanpa mencemarkan alam sekitar.

Sebagai konsultan yang dilantik syarikat milik penuh Kerajaan Selangor itu, Geetha memberitahu pihak mereka menjalankan kajian terhadap impak aktiviti mengorek pasir milik KSSB terhadap alam sekitar.

Kajian termasuk kesan terhadap biologi iaitu flora dan fauna, fizikal iaitu pengaliran air dan sosial iaitu gangguan terhadap penduduk sekitar.

Sejak lombong Olak Lempit beroperasi Januari lalu, tujuh laporan AMP telah diserahkan kepada JAS.

Laporan tersebut jelasnya akan dikemaskini setiap bulan kerana perubahan sentiasa berlaku sepanjang aktiviti mengorek pasir dilakukan.

"Sekiranya kami dapati berlaku perkara yang akan memberi kesan kepada alam sekitar, kami akan berikan makluman bertulis kepada KSSB," katanya lagi.

Berhubung dakwaan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar bawaha KSSB mengorek sehingga 200 kaki dalam pula, Geetha berkata sehingga kini KSSB hanya mengorek 17 meter sahaja.

Penjelasan itu sekaligus menyangkal dakwaan negatif bahawa, KSSB mengalirkan air kotor ke Wetland dan mengorek lebih dari kedalaman yang dihadkan.

Sementara itu, Lembaga Pengarah KSSB, Datuk Abdul Shukor Nagor berkata, mereka masih baru dan jauh dari kesempurnaan.

Bagaimanapun beliau berkata, jika mereka salah, mana-mana pihak boleh menegur mereka.

"Kami tak sempurna tapi kami cuba buat yang terbaik," katanya.

Tambahnya lagi, apa yang dibuat KSSB pada waktu ini adalah kaedah baru yang jauh lebih baik dari yang dibuat pihak sebelum ini.

Turut serta pada sesi taklimat itu, Pengarah Eksekutif KSSB, Ir. Ramli Abd. Majed serta Adun Sri Muda, Suhaimi Shafie.

Terdahulu sekumpulan 40 wakil dari pelbagai media dibawa melawat ke tapak perlombongan pasir di Olak Lempit, Dengkil, Selangor.

Lawatan tersebut bagi memberi peluang kepada petugas media melihat sendiri proses mengorek pasir yang dijalankan KSSB di Selangor.

KSSB sebelum ini dikritik hebat oleh Umno Selangor kononnya aktiviti mengorek pasir oleh KSSB akan merosakkan alam sekitar dan struktur mukabumi negeri itu.

Untuk rekod, pada tahun 2008 KSSB membayar RM1.5 juta royalti dan RM1 juta keuntungan sebelum cukai kepada kerajaan negeri Selangor.

Pada 2009, mereka membayar RM5.7 juta royalti dan RM9 juta keuntungan sebelum cukai manakala pada 2010, sehingga Jun lalu mereka telah membayar RM5 juta royalti dan RM10 juta keuntungan sebelum cukai kepada kerajaan negeri.

Ianya jauh lebih tinggi berbanding zaman kerajaan negeri di bawah BN.

Pada zaman BN, kerajaan negeri hanya mendapat bayaran royalti sebanyak RM3.54 juta pada tahun 2005, RM4.37 juta (2006) dan RM4.29 juta (2007).

Tiada ulasan: