Khamis, 1 Julai 2010

Teresa cadang Ng Yen Yen dirujuk ke JK Hak & Kebebasan

Dzulfikar Mashoor


KUALA LUMPUR: Menteri Pelancongan Dr. Ng Yen Yen bakal dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen ekoran mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan berhubung kos pembinaan Astaka Pavilion Malaysia di Ekspo Sedunia Shanghai, Mei lalu.

Usul ini akan dikemukakan oleh Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok, Dr. Ng (DAP) ekoran kenyataannya semalam yang berkata, sebanyak RM20 juta digunakan untuk menampung kos keseluruhan pameran tersebut.

Sedangkan, katanya lagi, Dr. Ng pada jawapan bertulis kepada Ahli Parlimen Batu Gajar Fong Po Kuan pada 15 Jun berkata, kos keseluruhan pameran mega itu adalah RM35 juta.

"Di mana yang betul, dalam tempoh dua minggu, kita mendapati seorang Menteri mengeluarkan angka perbezaan sebegini," tegas beliau tengah hari tadi di lobi Parlimen.

Dalam pada itu, beliau turut menyuarakan rasa kecewa dengan Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia kerana mengetepikan usul yang dibuatnya semalam.

Katanya, menggunakan Peraturan Mesyuarat 36(12), sepatutnya beliau diberikan hak untuk merujuk Dr. Ng pada jawatankuasa berwajib.

"Saya bercakap ada asas dan fakta, saya tidak berniat menghina Dewan Rakyat yang mulia apabila merujuk Menteri itu pada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen," beliau bertegas.

Turut bercakap pada sidang media yang sama, Chong Chieng Jen (Ahli Parlimen Kuching/DAP) dan Wong Ho Leng (Ahli Parlimen Sibu/DAP) .

Tiada ulasan: