Khamis, 1 Julai 2010

Tarif baru pos kuat kuasa hari ini


BERNAMA


KUALA LUMPUR — Pos Malaysia Berhad akan menguatkuasakan tarif baru bagi semua perkhidmatan pos mulai hari ini.

Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat Pos Malaysia Maisara Noor Ahmad berkata mel standard bagi pos domestik akan bermula dari 60 sen hingga 70 sen untuk berat antara 20 hingga 50 gram, mel bukan standard sebanyak 80 sen hingga RM5.50 bagi berat antara 50 gram hingga 2 kilogram, manakala poskad dikenakan caj sebanyak 30 sen.

“Bagi kategori terbitan berkala, caj sebanyak 50 sen hingga 90 sen akan dikenakan bagi berat antara 20 gram hingga 250 gram,” katanya dalam satu kenyataan.

Kategori pos dokumen untuk 500 gram hingga dua kilogram akan dikenakan caj sebanyak RM1.80 hingga RM4.50, manakala kategori paket kecil bagi berat satu hingga dua kilogram akan dicaj sebanyak RM4 hingga RM5.50.

“Bagi penghantaran item melebihi 500 gram melalui udara di antara Semenanjung Malaysia dan Sabah/Sarawak, caj tambahan pengangkutan udara sebanyak RM1.50 akan dikenakan bagi setiap tambahan 500 gram,” katanya.

Caj tambahan pengangkutan udara pula adalah sebanyak RM1.50 bagi setiap 500 gram atau sebahagiannya sehingga 30 kilogram bagi penghantaran bungkusan melalui udara di antara Semenanjung Malaysia dan Sabah/Sarawak.

Bagi kategori pos daftar, caj sebanyak RM2.20 akan dikenakan bagi pasaran domestik dan RM4.10 bagi pasaran antarabangsa.

Sampul pos daftar bagi domestik pula dicaj sebanyak RM2.50 untuk berat kurang daripada 50 gram.

Tiada ulasan: