Rabu, 7 Julai 2010

Tamatkan Suara Keadilan Dan Harakah, Rakyat Akan Tamatkan Riwayat UMNO BN

KELAB GREENBOC

Datuk Seri Hishammuddin Hussein menegaskan akhbar Suara Keadilan terbitan PKR kemungkinan boleh ditutup jika ia terus diterbitkan meskipun permitnya belum diperbaharui.

Sehubungan itu kata Menteri Dalam Negeri, pihaknya bukannya bertindak tanpa munasabah dengan menahan daripada memperbaharui permit akhbar mingguan itu.

Sebaliknya Hishammuddin mendakwa Suara Keadilan “angkuh” dengan mahu terus mengeluarkan terbitannya walaupun menyedari statusnya buat masa sekarang.

“Kami akan memutuskan status permit jika isu yang sedang diteliti sekarang diselesaikan. Ia adalah satu keputusan yang adil,” kata Naib Presiden Umno ini.

Ketika ditanya sama ada akhbar itu boleh ditutup sama sekali jika terus diterbitkan esok, Hishammuddin berkata:

“Sudah tentu mereka boleh. Kami akan mengkaji tindakan mereka dan keupayaan kementerian mengambil tindakan-tindakan yang sewajarnya terhadap mereka.”

“Jika tidak apa gunanya mempunyai bahagian penguatkuasaan?”

Hishammuddin menyifatkan kenyataan untuk meneruskan penerbitan akhbar Suara Keadilan sebagai angkuh dan bercanggah dengan peraturan.

Kata beliau, tidak timbul isu menarik semula permit penerbitan kerana yang menjadi isu pada masa ini adalah permit akhbar itu telah tamat tempoh dan permohonan untuk menyambung semula permit belum diluluskan.

Hishammuddin berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pengarah Strategi PKR Tian Chua semalam bahawa penerbitan akhbar itu akan diteruskan.

Dalam pada itu, Hishammuddin turut menjelaskan bahawa kementerian tidak mendiskriminasi mana-mana pihak mengenai isu penerbitan.

“Tidak kira Suara Keadilan, Suara Perkasa atau mana-mana media lain mesti mengikut syarat-syarat, peraturan sedia ada. Dalam konteks dasar, semua liputan termasuk majalah dan akhbar tabloid akan dipantau dengan lebih dekat,” katanya.

Semalam, Setiausaha Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran Kementerian Dalam Negeri Datuk Zaitun Ab Samad berkata, PKR perlu menanggung implikasi undang-undang sekiranya parti itu bertindak menerbitkan akhbar Suara Keadilan yang permit penerbitannya sudah tamat.

“Kalau beroperasi tanpa lesen, mereka perlu menanggung risiko dikenakan tindakan,” katanya.

Akhbar itu telah menerbitkan sebuah artikel muka depan bertajuk “Felda Bankrap”.

Pada 28 Jun, KDN memberi tempoh seminggu kepada sidang redaksi akhbar untuk memberi penjelasan mengenai artikel itu.

Zaitun sebelum ini mengeluarkan kenyataan bahawa permit penerbitan Suara Keadilan yang dikeluarkan pada Julai tahun lepas tamat pada 30 Jun tahun ini dan dengan itu tidak lagi boleh dicetak atau diterbitkan mengikut Seksyen 5(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
Harakah pula 'diperingatkan' KDN

Selepas dua tabloid politik dipanggil 'mengadap' Kementerian Dalam Negeri (KDN), kini giliran akhbar organ PAS Harakah pula dipanggil ke Putrajaya.

Menurut portal berita kementerian itu iKDN, dalam pertemuan kira-kira setengah jam bermula pada 1.30 tengah hari semalam, Harakah antaranya "diperingatkan peranan dan tanggungjawab penerbit akhbar kepada KDN".

"Niat pertemuan ialah hasrat KDN agar Harakah mematuhi perkara-perkara yang tertakluk dalam garis panduan pemberian permit.

"Antaranya seperti pihak percetakan sewajibnya memberikan KDN 8 naskhah suratkhabar mereka sebaik selesai dicetak," laporan berjudul 'Harakah Bersua KDN' itu dipetik.

Dalam pertemuan yang dipengerusikan oleh Pemangku Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) Datuk Abd Rahim Mohd Radzi itu, Harakah diwakili pengarangnya Taufek Yahya.

Turut hadir Setiausaha Bahagian Penerbitan dan Teks al-Quran Datuk Zaitun Ab Samad.

Menurut laporan itu, Harakah juga dimaklumkan kesulitan berkaitan perkara itu dapat dielakkan sekiranya garis panduan KDN dipatuhi.

"Juga bukan niat KDN untuk memberi kesusahan tetapi sebagai entiti kerajaan yang bertanggungjawab maka KDN akan bertindak jika garis panduan itu diengkari," demikian menurut laporan itu lagi.

"Tiada perbincangan mengenai artikel-artikel yang terkandung dalam Harakah kerana motif sebenar perjumpaan ini diadakan adalah untuk memperingatkan peranan dan tanggungjawab penerbit akhbar kepada KDN."

Dalam pertemuan itu, Harakah dilaporkan menghormati fungsi KDN dalam memastikan setiap akhbar yang mempunyai permit penerbitan mematuhi apa sahaja perkara yang terkandung dalam akta berkaitan.

"Bahkan beliau (Taufek) juga gembira dengan inisiatif KDN untuk mengadakan perjumpaan seperti ini kerana pastinya banyak perkara yang sebelum ini sering menjadi perbalahan diharapkan akan dapat diselesaikan dengan segera," kata laporan itu lagi. -mk


Ulasan GB

Yang angkuh ialah KDN. Yang bebal ialah KDN!

Di dalam era digital dan serba maklumat ini, sebarang tindakan untuk menekan suara-suara rakyat akan mendapat tentangan dan tindak-balas dari rakyat.

Kerajaan UMNO BN adalah sebuah kerajaan yang tidak bertoleransi kepada berita-berita yang tidak memihak kepadanya. Mereka masih tinggal dan mengamalkan peradaban zaman batu - mengamalkan sistem diktator untuk menekan suara-suara rakyat.

Kita persilakan KDN untuk menamatkan permit Suara Keadilan Harakah, dan kemudian kita sama-sama perhatikan rakyat akan segera menamatkan pemerintahan kerajaan UMNO BN!

Tiada ulasan: