Sabtu, 17 Julai 2010

Tak Munasabah Untuk Terus Belanja RM1 Bilion Setahun Untuk Subsidi Gula

BERNAMA

BANGI: Adalah tidak munasabah bagi kerajaan berbelanja RM1 bilion setahun bagi memberi subsidi kepada satu barangan yang memberi kesan tidak baik kepada kesihatan, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed hari ini.

"Kita harus lihat secara makro di mana antara lain kenaikan harga gula dapat mengekang ketirisan barangan kawalan itu ke negara jiran," katanya kepada media selepas merasmikan Sukan Antara Agensi Kementerian itu di Pusat Latihan Petronas di sini.

Beliau berkata demikian semasa mengulas program rasionalisasi subsidi yang melibatkan pengurangan subsidi bagi harga gula yang diumumkan kerajaan Khamis lalu.

Khamis lalu, kerajaan mengumumkan bahawa subsidi gula dan bahan api akan dikurangkan sebagai langkah pertama program rasionalisasi subsidi secara berperingkat-peringkat.

Harga gula diselaraskan sebanyak 25 sen sekilogram, diikuti minyak petrol RON 95 dan diesel masing-masing dikurangkan sebanyak 5.0 sen seliter, serta gas petroleum cecair (LPG) dikurangkan sebanyak 10 sen sekilogram.

Katanya Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) akan merasai kesan kenaikan ini tetapi "kalau kita bijak menguruskan perniagaan, kita tidak harus merasai sebarang kesannya dengan meningkatkan produktiviti."

Namun, beliau berharap tiada pihak yang akan mengambil kesempatan dari kenaikan harga yang kecil ini.

"Langkah mengurangkan kandungan gula tidak akan menyebabkan kos melambung. PKS boleh ubah suai dan struktur kos dapat dikekalkan," katanya.

Mengulas tentang program rasionalisasi subsidi kedua, Mustapa berkata barangan yang akan terlibat tentulah yang bergantung kepada pasaran antarabangsa.

Namun, beliau memberi jaminan kerajaan akan kekalkan subsidi untuk bidang pendidikan dan pertanian.

"Kita tidak boleh pertahankan (harga pada) keadaan semasa. Malah subsidi bermakna kita mengambil hasil cukai untuk bantu pengguna.

"Kita kaji semula dengan melihat harga di pasaran antarabangsa. Jadi, kalau meningkat, sudah pasti kerajaan akan lihat semula kadar subsidi tersebut dan pada masa yang sama, kalau harga turun, penyelarasan akan dibuat bagi mengurangkan harga," ujarnya.

Tiada ulasan: