Jumaat, 23 Julai 2010

Taib Mahmud ke London dalam misi 'jual' Sarawak

BERNAMA


Kerajaan Sarawak mempromosikan Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (Score) sebagai destinasi mesra pelabur di United Kingdom (UK), bagi menarik pelabur.

Sehingga Mei, Score menarik pelaburan berjumlah RM87.61 bilion dalam pelbagai sektor, menjadikannya antara destinasi pelabur paling berdaya maju di Malaysia sejak pelancarannya pada 2006.

Kor
idor yang terletak dalam Wilayah Tengah Sarawak, meliputi 320km, dari Tanjung Manis ke Samalaju. Ia meliputi kawasan seluas 70,000 km persegi dengan penduduk seramai 607, 800 orang.

Taman Halal Tanjung Manis merupakan Taman Halal sehenti pertama di Malaysia Timut.

Delegasi perdagangan tahap tinggi kerajaan negeri yang diketuai Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud, akan menghadiri pelbagai acara penting di UK.

Taib akan diiringi Penasihat Khas di Pejabat Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem, Pengerusi Eksekutif Pembangunan hab Halal Tanjung Manis, Datuk Norah Abd Rahman, Setiausaha Kewangan Negeri Datuk Seri Ahmad Tarmizi Sulaiman, Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri Datu Ismawi Ismuni dan Pengarah Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi Wilayah Datuk Amar Wilson Baya Dandot.

Pemasaran serius

Sementara itu, pada Simposium Pelaburan Sarawak pada Khamis, Ismawi mengumumkan peluang-peluang pelaburan strategik di Sarawak dalam industri berasaskan minyak, aluminium, logam, kaca, pelancongan, minyak sawit, produk berasaskan kayu, keluli, nikel dan zink, ternakan, perikanan dan akuakultur serta kejuruteraan marin.

"Kami menerima banyak pertanyaan semasa sesi pemadanan perniagaan, bukan sahaja hab halal, malah mengenai Score, ramai peserta merancang mengkaji projek tenaga boleh diperbaharui serta minyak dan gas," katanya.

Ismawi berkata pelabur dalam industri strategik akan menikmati insentif kewangan yang menarik yang ditawarkan oleh Kerajaan Persekutuan menerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) seperti status perintis, elaun cukai pelaburan serta elaun pelaburan semula.

"Kami kini serius melakukan pemasaran di UK bagi mewujudkan kesedaran mengenai industri halal," kata Norah.

Beliau berkata Tanjung Manis akan terus bekerja rapat dengan MIDA dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) bagi memprompsikan industri itu.

Pembangunan dalam kawasan koridor itu bukan sahaja akan menjana peluang-peluang perniagaan dan pekerjaan, malah meningkatkan infrastruktur, utiliti dan kemudahan sosial, katanya.

Simposium itu disokong oleh Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London, Majlis Perniagaan Komanwel dan Majlis Islam Britain.


Tiada ulasan: