DARI - http://kentong-suhaizan.blogspot.com/ |
Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof Assalamualaikum Wrh Wbt, Saya mewakili Dewan Pemuda PAS Pusat mengucapkan tahniah kepada Tan Sri, ahli Suruhanjaya dan semua pegawai Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) atas kepekaan pihak Tan Sri terhadap teguran-teguran yang telah dibuat khususnya daripada pimpinan Pakatan Rakyat (PR)berhubung dengan ketelusan undi pos. Kenyataan media Tan Sri telah disiarkan oleh media arus perdana pada 26hb & 27hb Mei 2010, iaitu selepas sepuluh hari pilihanaraya kecil (PRK) Sibu , Sarawak. Yang terbaharu dikeluarkan oleh Malaysiakini 6hb Julai 2010. Berdasarkan kepada laporan media arus perdana bolehlah saya simpulkan seperti berikut : Pada masa itu Tan Sri meragui pandangan saya. Tan Sri ada menyebut “Saya tak fikir ada orang sanggup menjual kertas undinya”. Akhirnya telah terbukti dalam PRK Sibu terdapat ramai petugas SPR tidak memulangkan sampul B yang terkandung di dalamnya kertas undi. Dengan lain perkataan kertas undi petugas SPR majoritinya tidak dipulangkan. Mengikut pandangan ejen undi pos PR, kertas undi ini berkemungkinan telah dijual kepada sindiket . Malang kepada sindiket ini kerana mereka gagal memulangkan semula kertas undi tersebut secara berkelompok sebelum jam 5.00 petang pada 16hb Mei 2010 di Wisma Sanyan, Sibu kerana ejen undi pos PR mengawalnya 24 jam. Ejen undi pos PR telah dapat mengesan beberapa kejadian sindiket ini cuba untuk membuang undi di Wisma Sanyan. Al-hamdulillah ejen undi pos PR dapat mengawal pengundian proksi sindiket daripada berlaku secara berleluasa. Inilah punca utama mengapa proksi petugas SPR tidak memulangkan semula kertas undi pos sebelum masa yang ditetapkan. Saya rasa inilah juga punca mengapa 62% petugas SPR gagal mengembalikan kertas undi mereka. Pastinya sebagaimana kebiasaan, dalam hal ini pihak Tan Sri perlu mendapat persetujuan daripada pihak Jemaah Menteri terlebih dahulu. Barisan Nasional (BN) mendapat kemenangan undi pos di Sibu sebanyak 33 kali ganda daripada yang diperolehi oleh DAP-PR sedangkan BN kalah pada undi awam. Selama ini undi pos merupakan fixed-deposit kepada undi BN. Ruang manipulasi terlalu besar dalam sistem undi pos. Saya tidak fikir BN dengan mudah akan bersetuju dengan cadangan Tan Sri. Pernah berlaku sebelum ini dalam pilihanraya umum 2004, SPR telah mengeluarkan peraturan yang tidak membenarkan parti yang bertanding membuat pondok panas di sekitar tempat mengundi . Parti pembangkang mematuhi peraturan ini tetapi malangnya semua ejen BN tidak mematuhi. Akhirnya SPR mengikut keputusan BN dan pondok panas terpacak juga di sekitar tempat mengundi semasa Pilihanraya Umum 2004. Keduanya pada pilihanraya umum 2008, SPR telah membelanjakan wang rakyat dengan jumlah yang besar untuk membeli dakwat hitam bagi menanda jari untuk tujuan pengesahan pengundi. Namun apabila ada pihak yang berkepentingan tidak bersetuju, akhirnya SPR telah akur kepada pihak tersebut seterusnya membatalkan penggunaan dakwat hitam seperti yang dirancang. Ketiga, dalam pilihanraya umum 2008, SPR menetapkan setiap calon yang bertanding perlu mendapat pengesahan Pesuruhjaya Sumpah terlebih dahulu sebelum penamaan calon. Tetapi ramai calon UMNO/ BN tidak sempat untuk membuat pengesahan Pesuruhjaya sumpah tersebut , lantas peraturan ini dibatalkan pada saat akhir. Saya sendiri telah membuat bantahan terhadap calon BN bagi DUN Kempas, Johor yang tidak membuat pengesahan tersebut, malangnya saya pula dimarahi pegawai SPR di Putrajaya dan meminta saya membawa kes ini ke mahkamah. Saya yakin cadangan Tan Sri terhadap Sistem Pengundian Awal akan menerima nasib yang sama. Masakan Dato Seri Najib Tun Razak boleh setuju dengan cadangan Tan Sri sedangkan beliau sendiri telah menyiapkan dirinya dengan undi pos yang banyak di Pekan. Kalau Tan Sri berkeras juga , saya bimbang bukannya sistem undi pos yang dimansuh tetapi nama Tan Sri yang akan dimansuhkan daripada SPR. Inilah demokrasi ala Malaysia, Tan Sri. Contohnya semasa Pilihanraya Kecil DUN Bagan Pinang yang lalu, Menteri Besar Negeri Sembilan, Menteri Pertahanan dan Perdana Menteri dibenarkan masuk berkempen dalam kem. Saya masih lagi menyimpan ucapan menteri-menteri tersebut yang membuktikan bahawa mereka telah berkempen dalam kem tentera. Bagaimanapun jentera pilihanraya PAS tidak pula dibenarkan berkempen. Begitu juga di Sibu, sebanyak dua kali pertemuan telah diadakan di antara Perdana Menteri dengan anggota tentera tetapi pihak DAP tidak pula mendapat sebarang peluang untuk berkempen terhadap mereka. Bentuk demokrasi apakah ini, Tan Sri? Bila kita ajukan kepada SPR, seperti biasa SPR akan menjawab bahawa mereka tiada kuasa menghalang atau membenarkan calon berkempen dalam kem. Itu namanya padang permainan yang tidak sama rata, Tan Sri. Kes di Bagan Pinang dan Sibu, pada hari mengundi terdapat beratus-ratus anggota tentera membuat latihan menembak di luar kem. Sama ada dirancang atau kebetulan saya tidak pasti. Tetapi yang pasti anggota tentera ini tidak berada dalam kem. Kalau media arus perdana pun SPR tidak ada kuasa menyekatnya berkempen selepas jam 12 malam sebelum mengundi, apakah SPR mampu memberi arahan untuk tidak membenarkan pihak tentera membuat aktiviti luar kem pada hari mengundi. Saya minta SPR ukur kail (joran) sendiri. Jika kail panjang sejengkal bagaimana SPR mahu menduga laut yang dalam, Tan Sri. Himpunan Bersih 2007 telah mendesak dihapuskan undi pos namun SPR mendiamkan diri sahaja. Sebenarnya Pemuda PAS telah mewujudkan kumpulan pemantau undi pos ini sejak PRK Bagan Pinang seterusnya dilebarkan kepada rakan-rakan PR di Hulu Selangor dan Sibu. Pemuda PAS berjaya memberi gambaran kepada rakyat Malaysia bahawa terdapat ruang manipulasi yang terlalu besar dalam sistem undi pos. Kemuncaknya adalah di Sibu, Sarawak. Sama ada menang atau kalah,ruang manipulasi undi pos tetap terdedah kepada sesiapa yang mahu menggunakannya. Di Sibu ejen PR telah berjaya menggunakan senjata BN untuk menghunus balik ke perut BN. Itulah saya katakan “Senjata sudah makan tuan di Sibu”. Apakah apabila senjata undi pos sudah tidak dapat digunakan oleh BN, baru SPR menyedari undi pos sudah tidak telus? Ke mana perginya ketelusan undi pos selama 12 kali pilihanraya sebelum ini? Tan Sri, itulah hakikat demokrasi negara kita yang kononnya menjadi kebanggaan dunia. Jika tidak, masakan pula SPR boleh menolak pemerhati bebas dari luar negara . Oleh itu Pemuda PAS sedang berusaha untuk mengadakan Himpunan Bersih 2 sebelum pilihanraya ke-13. Pemuda PAS mendesak jika kerajaan Malaysia tidak mempastikan pilihanraya ke-13 berjalan dengan telus maka suatu himpunan besar-besaran akan diadakan. Saya mencadangkan himpunan ini di adakan sejurus selepas Perdana Menteri membubarkan Parlimen. Jika Perdana Menteri tidak mahu rakyat berhimpun di Istana Negara selepas Parlimen dibubarkan maka pastikan Reformasi terhadap SPR perlu dibuat segera. Kerajaan hendaklah mempastikan : Begitu juga jika Pakatan Rakyat (PR) menang atau kalah mereka akan berpuashati. Jika ada pihak tidak berpuashati terhadap pilihanraya ke-13 dikuatiri keadaan politik negara tidak akan stabil dan ianya akan merugikan rakyat dan negara Malaysia tercinta ini. |
Sabtu, 10 Julai 2010
Surat terbuka kepada Tan Sri Aziz, Pengerusi SPR
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan