Isnin, 19 Julai 2010

Subsidi minyak untuk nelayan diteruskan: Noh Omar

BERNAMA

KANGAR – Subsidi diesel yang dinikmati golongan nelayan di negara ini akan diteruskan meskipun kerajaan melaksanakan penyelarasan subsidi membabitkan bahan itu berkuat kuasa Jumaat lepas.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar berkata kerajaan juga tidak bercadang menghapuskan subsidi kepada golongan itu buat masa ini.

Bagaimanapun kajian akan dilakukan bagi meneleiti keberkesanan sistem itu, katanya kepada pemberita selepas melawat nalayan yang menjadi mangsa ribut di Kuala Perlis, hari ini.

Beliau berkata kerajaan juga akan meneruskan insentif pendaratan ikan yang diperkenal pada September 2008, iaitu pembayaran 10 sen bagi setiap kilogram ikan yang didaratkan.

Ketika lawatan hari ini, Noh menyampaikan bantuan keseluruhan kira-kira RM47,000 kepada 46 keluarga nelayan bagi membaiki rumah mereka yang rosak akibat kejadian ribut pada Khamis lepas.

Setiap keluarga menerima antara RM400 dan RM7,500 bergantung kepada tahap kerosakan rumah masing-masing.

Sementara itu ketika melawat jeti nelayan di Kampung Seberang Alor, Noh turut mengumumkan peruntukan RM50,000 bagi membaik pulih sebuah pelantar ikan lama bagi menampung keperluan nelayan di kampung tersebut.

Tiada ulasan: