Khamis, 8 Julai 2010

SUARAM: Hentikan penembakan mati terhadap penjenayah

MERDEKA REVIEW



SUARAM menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya menuruti undang-undang yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan iaitu Artikel 5(1) iaitu menghormati hak bernyawa setiap manusia terutamanya dalam menjalankan tugas tanpa mengira sama ada penjenayah atau orang biasa.

SUARAM merujuk kepada insiden penembakan mati empat orang suspek penjenayah samun di rumah Wan Adnan di Kuantan pada 5 Julai 2010 yang lalu. SUARAM menghargai pengawai polis yang menjalankan tugas untuk menjaga keselamatan rakyat dalam kes tersebut, namun pihak polis tidak sepatutnya menggunakan senjata api dan menembak mati keempat-empat suspek tersebut. Pihak polis sepatutnya cuba untuk menahan supaya mereka boleh dibicarakan di mahkamah kemudian. Dengan menggunakan senjata api untuk menembak seseorang sampai mati, pihak polis telah mencabuli hak asasi setiap suspek yang telah ditembak mati ketika proses penahanan.

SUARAM sebagai sebuah badan hak asasi manusia, menyeru kerajaan Malaysia supaya memastikan pihak berkuasa terutamanya PDRM menghormati hak untuk hidup setiap manusia semasa menjalankan tugas. Dalam Deklarasi Hak Asasi Manusia, Artikel 3 menyatakan bahawa "Setiap orang berhak untuk hidup" dan Artikel 5 menyatakan bahawa "Tiada sesiapa pun boleh dikenakan seksaan atau layanan atau hukuman yang zalim, tidak berperikemanusiaan."

Artikel 4 dalam Prinsip Asas Penggunaan Kekerasan dan Senjata Api oleh Pihak Penguatkuasa 1990 (Basic Principles on the Use of Force and Firearms by Law Enforcement Officials) oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menyatakan bahawa "Pegawai-pegawai pihak penguatkuasa, dalam menjalankan tugas seboleh mungkin menggunakan cara tidak keras sebelum terpaksa menggunakan kekerasan dan senjata api."

Mengikut statistik rasmi kerajaan, antara tahun 2007 hingga 2009 <*1>, terdapat sebanyak 183 nyawa dikorbankan akibat ditembak mati oleh polis. Pihak polis sepatutnya menggunakan alternatif lain selain daripada senjata api dalam operasi penangkapan suspek penjenayah. Malah, rakyat risau dan bimbang dengan penggunaan senjata api oleh pihak polis khususnya, kerana sehingga hari ini tiada satu mekanisme dan akauntabiliti dalam kes-kes penggunaan senjata api oleh pihak polis.

Akhirnya, kami menyeru kerajaan untuk mewujudkan satu mekanisme yang telus dan jelas tentang penggunaan senjata api di kalangan polis serta mendedahkan Perintah Tetap Ketua Polis Negara (IGSO) dengan segera agar penyalahgunaan kuasa polis tidak berulang lagi dan pemeriksaan awam dapat dijalankan terhadap penggunaan senjata api oleh pihak polis.

<*1> Pemberitahuan Pertanyaan Bagi Jawab Lisan, Dewan Rakyat, Rujukan No: 2357 <Parliamentary Oral Reply>, 18 March 2010.

*Kenyataan oleh Yap Heng Lung selaku penyelaras SUARAM.

Tiada ulasan: