Sabtu, 3 Julai 2010

Suara Perkasa: KDN panggil editor, pertemuan susulan Isnin ini


KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri memanggil pengurusan Suara Perkasa bagi mendapatkan penjelasan berhubung kandungan sulung akhbar terbitan Perkasa, yang muka depannya menggesa agar Ketua Pemuda MCA Datuk Dr Wee Ka Siong ditahan di bawah ISA.

The Malaysian Insider dimaklumkan ketua pengarang Suara Perkasa telah dipanggil menghadap Kementerian Dalam Negeri pukul 5 petang ini.

Ketua Komunikasi Korporat kementerian itu Jamilah Taib dalam satu kenyataan berkata pertemuan hampir sejam tersebut bermula pukul 5 petang dan dihadiri Editor Suara Perkasa Amirudin Mohamad, Pemangku Timbalan Ketua Setiausaha Datuk Abdul Rahim Mohd Radzi, dan Setiausaha Bahagian Penerbitan, Teks & Al-Quran Datuk Zaitun Abd. Samad.

Perkasa menerbitkan edisi pertama Suara Perkasa semalam.

Sementara itu, Ketua Pengarang Suara Perkasa Daud Ibrahim ketika dihubungi The Malaysian Insider mengesahkan pihaknya telah dipanggil oleh Pejabat Ketua Setiausaha kementerian berkenaan petang ini.

“Sebenarnya dua pegawai Kementerian Dalam Negeri datang ke pejabat kami, mereka mengambil beberapa naskhah edisi pertama Suara Perkasa dan meminta editor (Amirudin Mohamed) jumpa mereka di pejabat.

“Pertemuan berlangsung kira-kira sejam dan kemudian, mereka meminta saya menemui mereka pada Isnin ini... mungkin ada perkara yang mereka belum berpuas hati, jadi mereka hendak jumpa ketua pengarang sendiri,” kata Daud.

Sebagai ketua pengarang, kata Daud, beliau tiada masalah untuk menemui Kementerian Dalam Negeri.

“Saya tiada masalah untuk menemui mereka jika dipanggil. Saya datang ke bidang ini dengan menyedari akan risiko dan cabaran yang perlu dihadapi, jadi saya tiada masalah...,” kata beliau yang mempercayai kemungkinan tindakan Kementerian Dalam Negeri ini ada kaitan dengan edisi pertama Suara Perkasa.

“Ini perkara biasa, mereka hendak memantau penerbitan kami... jadi mereka datang,” katanya.

Ketika ditanya sama ada tindakan hari ini berkaitan dengan kenyataan Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin semalam yang mahu Kementerian Dalam Negeri menyiasat Suara Perkasa kerana menerbitkan rencana sulungnya, yang didakwa berunsur hasutan, meminta Wee ditahan di bawah ISA, Daud berkata:

“Saya tidak pasti dan saya juga tidak mahu mengesyaki sesiapa, malah tidak mahu mengaitkan sesiapa dalam soal ini.”

Daud dijangka menemui pegawai kanan kementerian itu tengah hari Isnin ini.

Semalam, Khairy memberitahu, beliau merasakan bahawa jika benar laporan muka depan Suara Perkasa keluaran semalam menggesa Wee ditahan di bawah ISA, maka Kementerian Dalam Negeri dengan serius wajar melihat perkara tersebut.

“Tindakan ini tidak betul, anda tidak harus menyiarkan kenyataan-kenyataan macam ini. Saya serius, tidak bergurau,” kata Khairy kepada The Malaysian Insider semalam.

“Saya tidak membela Ka Siong, Perkasa tidak boleh menghasut ketegangan,” katanya.

Edisi sulung Suara Perkasa, akhbar Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia muncul “garang” semalam dengan tajuk “Tahan Ka Siong di bawah ISA” – laporan yang merujuk kepada Timbalan Menteri Pelajaran yang menjadi sasaran kecaman NGO itu minggu lalu.

Perkasa dipimpin oleh Ahli Parlimen Bebas Pasir Mas Datuk Ibrahim Ali.

Ibrahim sebelum ini memanggil Wee “biadap” dan menuduh beliau mempersoalkan kontrak sosial, yang menyebabkan pertengkaran antara dua pemimpin berkenaan.

Khairy juga minggu lalu melabelkan Ibrahim “gedebe politik”, pertikaman lidah yang berpanjangan dengan Ibrahim mendesak beliau meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Rembau kerana mempertahankan Wee.

“Perkasa mahu kerajaan menahan Wee Ka Siong di bawah ISA,” kata Timbalan Presiden Perkasa Datuk Abdul Rahman Abu Bakar ketika memperkenalkan edisi sulung “Suara Perkasa” kepada wartawan kelmarin.

Wee sebelum ini dilaporkan meminta supaya program biasiswa Mara kepada pelajar Bumiputera perlu dimasuhkan bersama dengan biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam.

Wee merupakan antara pemimpin terbaru menjadi sasaran kecaman Perkasa, NGO yang ditubuhkan akhir 2008 susulan landskap politik negara selepas tsunami politik Mac 2008.

Dijual dengan harga RM2 senaskah, akhbar itu dibiayai Media Perkasa Sdn Bhd dan modal permulaan berjumlah RM500,000.

Dalam pada itu, Ibrahim berkata beliau menyambut baik tindakan Kementerian Dalam Negeri menyiasat Suara Perkasa berhubung edisi sulungnya.

“Itu tanggungjawab pihak berkuasa, jadi ia bukan satu isu bagi saya,” kata beliau sambil menambah, pihaknya bersedia untuk menghadapi apa jua tindakan.

“Mungkin selepas ini polis akan menyiasat... kalau mereka mendapati kami salah, sila ambil tindakan. Tetapi kami tidak melakukan apa-apa kesalahan,” kata beliau.

Tiada ulasan: