Rabu, 7 Julai 2010

Suara Keadilan diterbit malam ini, PKR cari pencetak baru


KUALA LUMPUR – Kepimpinan PKR mengesahkan pihaknya akan menerbitkan akhbar Suara Keadilan yang berhadapan dengan isu permit penerbitan seperti biasa malam ini dan akan berada di pasaran esok.

Pencetaknya pula memutuskan untuk tidak mencetak lagi akhbar tersebut sehingga isu semasa dengan Kementerian Dalam Negeri diselesaikan.

Hari ini, Dewan Rakyat juga menolak usul tergempar yang dibawa untuk membincangkan isu Suara Keadilan atas alasan Kementerian Dalam Negeri masih meneliti perkara tersebut.

Pengarah Strategi PKR Chua Tian Chang memberitahu The Malaysian Insider petang ini, status quo akhbar itu kekal dan parti itu tidak akan menghentikan penerbitan hanya kerana permit sudah tamat dan belum diperbaharui.

“Kami tiada sebab untuk berhenti (mencetak). Mereka tidak memberikan keputusan yang betul mengenai isu permit. Kami akan mencetak seperti biasa malam ini,” kata beliau.

Chua berkata, seperti biasa sebanyak 100,000 naskhah akan dicetak malam ini.

Ia akan diedarkan mulai esok, katanya.

Bagaimanapun Chua mengesahkan pencetak asal telah memutuskan untuk tidak mencetak akhbar itu sehingga pertikaian dengan Kementerian Dalam Negeri selesai.

“Jika itu keadaan, kami akan mencari pencetak lain untuk mencetak akhbar kami. Apapun kami akan mencetak malam ini,” katanya.

Chua enggan menamakan pencetak dan lokasi cetakan kepada media.

Beliau masih bertegas Kementerian Dalam Negeri belum melarang penerbitan itu, cuma menangguhkan keputusan memperbaharui permit Suara Keadilan.

“Mereka baru sahaja memaklumkan kami bahawa mereka tidak melarang kami tetapi hanya belum memutuskan sama ada memperbaharui ataupun sebaliknya.

“Oleh itu, tidak haram bagi kami untuk mencetak akhbar kami malam ini,” katanya.

Menjawab soalan kemungkinan kementerian memutuskan untuk mengharamkan Suara Keadilan, PKR boleh membawa Kementerian Dalam Negeri ke mahkamah atau merayu keputusan mereka.

“Kami akan menyeberang jambatan apabila tiba masanya nanti,” kata beliau.

Terdahulu, Editor Suara Keadilan Dzulkarnain Taib memberitahu The Malaysian Insider bahawa PKR masih belum memutuskan tarikh penerbitan edisi susulan Suara Keadilan walaupun kelmarin pihaknya mengumumkan akan mengeluarkan akhbar berkenaan seperti biasa meskipun permitnya belum diperbaharui Kementerian Dalam Negeri.

“Kepimpinan (PKR) masih membincangkan soal penerbitan edisi akan datang dan belum menyelesaikan soal pencetak,” kata Dzulkarnain.

Kata beliau, PKR sedang menangani isu ini dengan berhati-hati.

Seorang pegawai Syarikat Percetakan NPK Sdn Bhd ketika dihubungi berkata pihaknya akan berhenti dari mengeluarkan Suara Keadilan sehingga menerima notis susulan Kementerian Dalam Negeri.

“Kami sudah pun menerima surat daripada Kementerian Dalam Negeri dan kami tidak akan mencetak Suara Keadilan,” katanya.

Semalam, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein menegaskan Suara Keadilan kemungkinan boleh ditutup jika ia terus diterbitkan meskipun permitnya belum diperbaharui.

Setiausaha Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran Kementerian Dalam Negeri Datuk Zaitun Ab Samad berkata, PKR perlu menanggung implikasi undang-undang jika terus menerbitkan Suara Keadilan yang permit penerbitannya sudah tamat.

Akhbar itu telah menerbitkan sebuah artikel muka depan bertajuk “Felda Bankrap”.

Permit penerbitan Suara Keadilan tamat 30 Jun lalu dan dengan itu tidak lagi boleh dicetak atau diterbitkan mengikut Seksyen 5(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Tiada ulasan: