Rabu, 21 Julai 2010

SPRM tutup tiga kes profil tinggi

SINAR HARIAN

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menutup fail tiga kes yang membabitkan Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan bekas Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat yang juga bekas presiden MCA.

Pengerusi Panel Penilaian Operasi SPRM, Tan Sri Hadenan Jalil berkata, panel tersebut sebulat suara bersetuju dengan cadangan SPRM tidak mengambil tindakan lanjut terhadap kes-kes tersebut selepas menyiasat kes tersebut.

"Dalam mesyuarat hari ini kita menerima laporan daripada SPRM untuk menutup kes berkenaan dan kita bersetuju bahawa ketiga-tiga kes melibatkan mereka tiada lanjutan lagi," katanya selepas mesyuarat panel penilaian bersama SPRM di Akademi Pencegahan Rasuah di sini, hari ini.

Beliau berkata, bagi kes Liow di mana sebuah syarikat dikatakan telah menghadiahkan sebuah kereta Toyota Alphard kepada isterinya, siasatan SPRM mendapati kenderaan itu dibeli sendiri.

Katanya, Abdul Khalid yang sebelum ini disiasat mengenai dakwaan menyalahgunakan duit kerajaan negeri untuk membeli 46 ekor lembu korban bagi bahagian Parlimen Bandar Tun Razak pula ditutup kerana 'tujuan rasmi telah dilaksanakan dan ia dihadiri orang ramai'.

Kes Ong pula yang dikatakan menerima RM10 juta daripada kontraktor projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) juga ditutup setelah tiada saksi dan penuduh pula tidak dapat tentukan siapa yang ambil wang tersebut," kata Hadenan.

Beliau berkata, dalam mesyuarat itu juga, panel bersetuju untuk menutup 58 kes lain yang bukan berprofil tinggi manakala dua kes yang telah ditutup diarah untuk dibuka semula kertas siasatan.

Katanya, sesetengah kes yang ditutup bukan bermakna kes-kes tersebut bebas daripada kegiatan rasuah tetapi kerana kekurangan saksi dan bukti menghalang adanya kes yang kukuh.

Menurutnya SPRM telah bekerja keras untuk meningkatkan imej suruhanjaya tersebut.

Dalam tempoh 1 Jan hingga 6 Jun ini, SPRM telah membuka sebanyak 673 kertas siasatan berbanding hanya 923 kes bagi sepanjang tahun lepas.

Beliau berkata, dalam tempoh yang sama tahun ini, seramai 194 individu yang didapati menawarkan rasuah kepada penjawat awam telah ditahan manakala 140 penjawat awam ditahan atas kesalahan rasuah dan salah guna kuasa.

Tiada ulasan: