Isnin, 26 Julai 2010

'SPRM perlu imej dihormati dan digeruni'

MALAYSIA KINI


Pelbagai perubahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) termasuk mengambil pendekatan lebih telus dan profesional dalam usaha mengembalikan keyakinan rakyat terhadapnya dilihat berhasil, kata Pengerusi Panel Penilaian Operasi SPRM Tan Sri Hadenan Jalil.

Katanya, tidak dinafikan bahawa usaha SPRM itu telah menunjukkan tanda-tanda positif walaupun masih terdapat kekangan dan kekurangan dalam tindakan yang dilakukannya.

Beliau memberitahu Bernama bahawa suruhanjaya itu perlu meningkatkan lagi imejnya sebagai sebuah institusi yang bukan saja dihormati malah digeruni.

Memang tidak dinafikan bahawa masih kedengaran suara yang mempertikaikan ketelusan suruhanjaya tersebut, antaranya dengan menuduhnya 'memilih bulu' dan lambat bertindak menyelesaikan sesuatu kes, tetapi tidak kurang juga yang memandang tinggi usaha positif SPRM dalam memerangi rasuah.

"Apabila kita bercakap tentang rasuah, persepsi menjadi isu utama kerana ia adalah perkara yang sukar dibuang, namun SPRM perlu menepis segala tuduhan itu agar kehadiran mereka dirasai oleh masyarakat," kata Hadenan yang juga bekas Ketua Audit Negara.

Bagaimanapun, katanya, SPRM sekarang lebih telus dan terbuka malah bekerja keras dalam usaha mendekati masyarakat dan mengembalikan keyakinan mereka sekaligus membetulkan sebarang persepsi yang salah.

Hadenan menolak tanggapan sesetengah pihak kononnya SPRM "lembab" dan siasatannya mengambil masa yang lama, sebaliknya, katan beliau, kebanyakan kes memerlukan jangka waktu yang panjang untuk disiasat bagi memastikan mereka yang benar-benar terbukti bersalah diheret ke muka pengadilan.

Hadenan berkata SPRM komited dalam tugasnya.

Buktinya dari 1 Jan hingga Jun tahun ini, seramai 194 individu ditahan kerana didapati menawarkan rasuah kepada penjawat awam manakala 140 penjawat awam pula ditahan kerana kesalahan menerima rasuah dan salah guna kuasa.

Hadenan berkata orang ramai harus memahami SPRM terpaksa menutup beberapa kes kerana kekurangan saksi dan bukti yang kukuh, malah ada kalanya saksi "hilang" apabila tiba hari perbicaraan.

Penganalisis jenayah Kamal Affandi Hashim berkata beliau mendapati SPRM telah menjalankan tanggungjawabnya dengan baik walaupun ia sentiasa mendapat persepsi negatif daripada masyarakat.

"Pada pendapat saya, tak ada apa yang perlu diubah atau dipertingkatkan.

SPRM memang sudah di landasan yang betul, cuma yang rasa tidak puas hati itu adalah orang yang buat salah.

"Cubalah tanya mana-mana orang seperti ini, mesti dia orang kata SPRM ini berat sebelahlah, macam-macam. Bukan SPRM sahaja yang mereka kata begitu, polis, imigresen dan lain-lain pun mereka kecam," katanya.

Yang Dipertua Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Datuk Sheikh Abdul Halim Abdul Kadir pula berkata usaha SPRM dalam membanteras rasuah dan mengubah persepsi masyarakat tidak akan ada kesudahannya sekiranya masyarakat masih tidak sedar bahawa rasuah itu adalah satu perbuatan yang salah.

Katanya hanya dengan keinsafan dan iman yang kuat sahaja yang mampu menjadi dinding penghalang daripada melakukan perbuatan keji tersebut.

"Jika seseorang itu waras dalam membezakan dosa dan pahala, maka segala amalan negatif dapat dijauhi dan seterusnya menjadi penghalang daripada perbuatan itu berleluasa," katanya kepada Bernama.

Sheikh Abdul Halim berkata SPRM pada dasarnya telah menjalankan tanggungjawab dan peranannya dengan baik dalam memberi kesedaran dan menjauhkan orang ramai daripada rasuah.

"Ada pelbagai kaedah untuk mencegah gejala rasuah tapi bagi saya kalau seseorang itu tidak menjaga akidahnya, rasuah masih tetap terjadi juga," katanya.

Beliau mencadangkan agar elemen keagamaan diterapkan dalam SPRM, contohnya melantik seseorang yang arif dalam bidang keagamaan untuk memberi penjelasan dan kesedaran kepada kakitangan pelbagai institusi atau di pejabat-pejabat mengenai bahana rasuah.

"Bukalah kelas, adakan kursus atau seminar di pejabat, panggil ustaz datang sekali dengan anggota SPRM, untuk beri ceramah atau motivasi, terangkan dosa yang akan ditanggung jika buat rasuah," kata Sheikh Abdul Halim.

Tiada ulasan: