Sabtu, 3 Julai 2010

SPRM Hanya Alat Untuk Kekalkan Golongan Penguasa

SABAH DAILY


Keputusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia membatalkan rancangan untuk mengambil keterangan P Balasubramaniam di London atas alasan kenyataan saksi yang dirakam di luar negeri tidak diterima sebagai bahan bukti adalah penuh dengan percanggahan, andaian tidak berasas dan alasan tidak munasabah guna untuk mengelak mewawancara beliau.

Americk Sidhu (gambar), peguam kepada penyiasat persendirian itu berkata tatkala SPRM bersungguh-sungguh untuk mengambil keterangan Bala, keputusan mengejutkan ini tidak boleh diterima akal.

"Merekodkan keterangan daripada saksi boleh dilakukan dimana-mana sahaja di dunia ini kerana kenyataan itu akan menjadi sebahagian daripada siasatan SPRM bagi kemungkinan membuat pendakwaan dan ianya bukan bagi tujuan bukti untuk digunakan dalam mahkamah kelak.

"Kalau alasan SPRM diterima maka kenyataan yang direkodkan daripada Saiful berhubung kes liwat II yang didakwa ke atas Anwar Ibrahim sudah tentu telah dikemukakan oleh pihak pendakwaraya sebagai sebahagian bahan kes dan bukannya disembunyi seperti yang berlaku sekarang.

"Kenyataan yang diambil tidak akan dikemukakan di mahkamah kecuali untuk menidakkan penyataan lisan saksi jika ia bercanggah dengan apa yang telah direkodkan. Proses in dipanggil 'impeachment' dan sebab itu keterangan harus diambil dahulu.

Americk menyatakan alasan yang diberikan SPRM seolah-olah mengandaikan bahawa Bala tidak akan memberi keterangan di mahkamah.

"Mengapa SPRM membuat andaian demikian? Bala sejak awal sudah bersedia untuk memberi keterangan terhadap individu yang telah menyebabkan kesengsaraan kepada Bala dan keluarganya sejak dua tahun lalu

"Bukankah Bala yang tampil untuk menceritakan perkara yang sebenar? Pernahkah beliau mengabaikan peranannya sebagai warganegara yang bertanggungjawab untuk membantu pihak berkuasa dalam apa jua kapasiti tanpa menjejaskan keselamatannya? Apa yang dipinta Bala ialah supaya pihak berkuasa memastikan keselamatannya sekiranya beliau perlu memberi keterangan. Tidak lebih tidak kurang.

"Bala dengan mudah mampu tinggal dalam buangan dengan RM5 juta dalam poketnya dan tidaklah hidupnya sengsara sebegini. Sebaliknya beliau tampil untuk mendedahkan salahlaku yang dilakukan oleh sekumpulan individu yang bermoral rendah hinggalah kepada penjawat tertinggi dalam kerajaan serta anggota keluarga mereka,
" tegas Americk dalam emel yang dihantar kepada Suara Keadilan semalam.

Tambah peguam itu jika pihak SPRM inginkan salinan akuan bersumpah Bala ia dengan mudah boleh diperolehi daripada laman siber yang banyak memuatkan dokumen berkenaan dalam bentuk akuan bersumpah pertama bertarikh Julai 2008 dan tiga bahagian soal jawab beliau yang dikeluarkan pada November 2009.

Kesemua dokumen ini kata Americk sudah terdedah sekian lama dan membutirkan segala isu berkaitan konspirasi kematian Altantuya Shaariibuu.

"Kalau inilah yang diperlukan SPRM, kenapa memberi alasan bahawa siasatan tidak boleh diteruskan tanpa kerjasama Bala?

"Kenapa Nazri memberitahu Parlimen bahawa SPRM tertekan dalam siasatan mereka kerana Bala tidak boleh dikesan?

"Bala sentiasa sedia hadir dan SPRM mengetahui hakikat ini. Kita ada bukti dokumen yang memaklumkan demikian seawal Disember tahun lalu. Mengapa tiba-tiba ia jadi kaku pada saat-saat akhir.


Americk menegaskan adalah memeranjatkan sebuah badan awam seperti SPRM yang dijangka akan menggunakan segala kuasa yang ada untuk menyiasat secara serius dakwaan terhadap Perdana Menteri, isterinya dan adik beliau kini dilihat melepaskan peluang keemasan ini atas alasan dangkal. SPRM mengetahui betapa teliti persediaan telah dibuat untuk menganjurkan sesi mengambil keterangan Bala dan sekarang dengan mudah menarik diri yang selama ini semua telah tertipu dengan persepsi serius dan bersungguh-sungguh yang dipamerkan sebelum ini.

"Apa yang berlaku telah memusnahkan apa sedikit kredibiliti yang masih ada pada SPRM dan seterusnya mengesahkan sangkaan oleh anggota masyarakat negara ini yang mempunyai kaliber dan pemikiran yang tinggi bahawa SPRM adalah hanya sebuah badan yang wujud untuk melindungi kepentingan golongan yang memegang kuasa dan sebarang bantahan rakyat hendaklah diambil tindakan yang keras dan tidak berperikemanusiaan. Ini bagi menekan segala pembongkaran terhadap kebejatan rejim yang memerintah supaya kuasa terus berada ditangan mereka," tambah beliau.

Americk berkata beliau serta peguam lain akan tetap berada di Holiday Villas, Bayswater di London pada 5 Julai pukul 10.00 pagi menunggu ketibaan tiga pegawai penyiasat SPRM seperti mana yang telah diatur dan dijanjikan.

"Nasihat daripada pejabat Peguam Negara kepada SPRM adalah tanpa asas undang-undang. Ini dibuat secara tergesa-gesa dengan tujuan mengelak situasi yang amat memalukan bagi golongan berkuasa yang berjaya menyeleweng dan menyalah guna aparatus kerajaan bagi memenuhi agenda haram mereka.

"Kalaulah masih ada sangkaan bahawa SPRM akan meneruskan rancangan untuk mewawancara Bala anggapan ini terhapus keran sehingga kini SPRM tidak ambil pusing untuk membuat tempahan bilik mesyuarat di Holiday Villas.

"Hakikatnya SPRM tidak pernah mempunyai niat untuk mengambil keterangan Bala dan sejak beberapa minggu lalu kelam kabut untuk mencari alasan untuk tidak berbuat demikian. Masalahnya alasan yang diberi adalah bodoh dan tidak diterima akal dan rakyat semua mengetahuinya," kata Americk. -SK

Tiada ulasan: