Rabu, 7 Julai 2010

SPR: Peluang kedua buat Mafrel

Jimadie Shah Othman

Walaupun gagal menghantar sebarang laporan dalam 11 pilihan raya kecil dalam tempoh dua tahun ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tetap akan memberikan peluang kedua kepada Pemantu Pilihan Raya Bersih dan Adil (Mafrel) sebagai pemerhati pilihan raya.

"Lantik Mafrellah (sebagai pemerhati). Walaupun dia belum daftar (pertubuhan), kita lantik orang (rakyat) kitalah, bukan orang luar tengok Malaysia," kata Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusoff (bawah).

Beliau diminta mengulas status Mafrel - NGO tunggal yang diberi dilantik sebagai pemantau rasmi dalam setiap pilihan raya - yang kini dikatakan bermasalah dengan suruhanjaya itu.

Ketika diwawancara Malaysiakini di pejabatnya di Putrajaya baru-baru ini, Abdul Aziz berkata, SPR masih memberikan peluang kepada Mafrel kerana "kadang-kadang orang silap".

"Kita pun bukannya jenis orang sekali (dia) buat salah (dihukum)... Kita nak dengar apa alasannya," katanya.

Abdul Aziz bagaimanapun berharap supaya Mafrel dapat menjalankan tanggungjawab mereka bukan sekadar memantau, tetapi menyediakan laporan berbentuk cadangan bagi membaiki kualiti pilihan raya di negara ini.

Saya bukan hendak tebal... Saya hendak cadangan," katanya yang tidak kisah walaupun laporan tersebut hanya satu atau dua muka surat sahaja.

Ditanya Mafrel benar-benar berperanan dalam pemantauan pilihan raya, Abdul Aziz berkata:

"Berperanan, tapi tiada nilai tampah pada kita. Kenapa? kita minta cadangan dia (Mafrel) tak buat pada kita. Pada orang lain kita tak tahu. Mungkin dia hantar laporan pada pihak lain," katanya.

Sementara itu, Abdul Aziz juga berkata pihaknya terbuka kepada pemantauan badan asing dalam proses pilihan raya di negara ini.

"Bukan masalah (dengan pemantauan asing). (Tetapi) setakat ini tidak ada (badan) yang minta lagi. Kita pergi (memantau negara lain) adalah," katanya.

"Apa mereka hendak tengok? Dia pun terperanjat, ada agen parti ke dalam (tempat mengundi) ini? Di United Kingdom, kosong. Kotak undi ini, kakitangan dia bawa balik rumah. Parti politik tak kisah."

Ditanya berhubung kos bagi tujuan itu, Abdul Aziz pantas menjawab: "Kalau kita (kena) belanja maaflah."

Setakat ini katanya, banyak wakil negara asing datang untuk berkongsi pengalaman sahaja dan bukannya untuk menjadi pemantau dalam pilihan raya di negara ini.

Tiada ulasan: