Ahad, 11 Julai 2010

SNAP tangguh TGM sementara tunggu pilihanraya negeri

snaplogo-1 BERNAMA


KUCHING: Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP), yang dihidupkan semula, akan menangguhkan Mesyuarat Agung Tritahunan (TGM) parti itu bulan ini bagi menumpukan kepada pilihan raya negeri yang dijadual diadakan sebelum Julai tahun depan.

Presidennya Edwin Dundang hari ini berkata SNAP akan kekal dengan pakatan pembangkang bagi bertanding kerusi tradisinya ketika menjadi parti komponen Barisan Nasional (BN) Sarawak sebelum ini.

"Bagi SNAP, parti pembangkang merupakan satu-satu parti politik alternatif dan kami akan mengaktifkan semula semua cawangan yang terpendam sejak lapan tahun lalu," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti itu di ibu pejabatnya di sini pada Sabtu.

Kecuali kerusi baru dibentuk, Bekenu, kesemua kerusi di bawah parti serpihannya, Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP), secara tradisinya dipegang oleh SNAP sebelum pendaftaran parti itu dibatalkan oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) pada 2002 kerana krisis kepimpinan dalaman.

Bagaimanapun, SNAP berjaya mengetepikan pembatalan pendaftaran itu di Mahkamah Rayuan pada 26 Jun lalu.

Dundang berkata parti itu akan melaksanakan proses pendaftaran semula 123,000 ahlinya serta mempelawa semula mereka yang menyertai SPDP termasuk presidennya Datuk Seri William Mawan.

Katanya mesyuarat CEC secara sebulat suara memecat timbalan presidennya Ting Ling Kiew, yang sebelum ini digantung, kerana gagal memberi jawapan memuaskan terhadap surat tunjuk sebab, bertarikh 6 April tahun lepas.

Naib Presiden Kanan Kebing Wan telah dilantik sebagai pemangku timbalan presiden sehingga mesyuarat TGM akan datang, katanya.

SNAP, salah sebuah parti politik tertua di Sarawak, ditubuhkan pada 1961 dengan pengerusinya yang pertama mendiang Tan Sri Stephen Kalong Ningkan menjadi Ketua Menteri pertama negeri itu.


Tiada ulasan: