Khamis, 1 Julai 2010

Sistem pembankan Islam masih anak tiri?

Hazayani Zakaria


KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Padang Terap, Nasir Zakaria mempersoal pendirian kerajaan dalam mengukuhkan sistem perbankan Islam di Malaysia kerana ia dilihat masih bergantung kepada sistem konvensional.

Nasir berkata, walaupun kerajaan memperkenalkan skim perbankan Islam (SPI) di Malaysia, namun ia hanyalah sekadar perkhidmatan perbankan Islam di kaunter-kaunter perbankan (islamic window) tetapi segala pembuatan keputusan masih perlu merujuk kepada sistem konvensional.

"Kerajaan memang memperkenalkan sistem perbankan Islam. Tapi masalahnya sekarang bagaimana kita nak memacu perbankan Islam di Malaysia kerana yang berlaku hari ini 80 peratus institut perbankan di Malaysia masih lagi dalam bentuk subsidiari kepada perbankan konvensional.

"Semua keputusan yang dibuat masih merujuk kepada kumpulan konvensional. Kerajaan pakejkan Islamic Window, produk-produk Islam tapi sebenarnya pada masa yang sama tetap tertakluk kepada mother company (syarikat induk). Kita sekarang adalah parents company," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Sebelum itu, beliau dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini meminta menteri kewangan menyatakan apakah langkah-langkah kerajaan untuk memantapkan sistem perbankan Islam di Malaysia yang masih lagi dibayangi oleh sistem konvensional di mana 80 peratus masih lagi wujud sebagai subsidiari kepada perbankan konvensional.

Beliau juga berkata, agak mendukacitakan apabila negara Malaysia yang merupakan negara Islam masih terkebelakang dalam sistem perbankan Islam.

"Masalah yang berlaku sekarang ini malaysia nombor empat di belakang London, Hong Kong, Singapura," katanya.

Justeru, beliau mahu kerajaan menyatakan pendirian mereka berhubung isu ini bagi memastikan perbankan Islam terus diperkasa.

"Apa tindakan kerajaan dalam kes ini sebab ia akan membantutkan perkembangan kewangan Islam. Macammana kalau tahap kebergantungannya masih lagi bergantung kepada sistem konvensional dari segi modal dan sebagainya," katanya.

Tiada ulasan: