Sabtu, 3 Julai 2010

Siasatan SPRM terhadap 2 ADUN PKR bermotif politik


logo-sprm Oleh Syed Jaymal Zahiid dan Fazy Sahir


SHAH ALAM: Kerajaan negeri Selangor mendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sengaja mengucar-kacirkan pentadbiran negeri itu dengan menyiasat dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengenai kegiatan melombong pasir.

Semalam ADUN Batu Caves, Amirudin Shari dan ADUN Sri Muda, Shuhaimi Shafie dipanggil SPRM untuk memberi keterangan berhubung skandal melombong pasir di negeri berkenaan.

ADUN Kampung Tunku, Lau Weng San berkata, siasatan ke atas kedua-dua ADUN tersebut bermotifkan politik.

"Cara mereka menyiasat mirip siasatan terhadap Teoh Beng Hock," katanya yang bercakap bagi pihak perhimpunan penyokong-penyokong Selangor dalam sidang media di ibu pejabat kerajaan negeri di sini hari ini.

Teoh yang merupakan setiausaha politik Exco Selangor Ean Yong Hian Wah ditemui mati selepas disoal siasat semalaman oleh SPRM di ibu pejabatnya, sekaligus mencetuskan pelbagai spekulasi mengenai kematiannya.

"Malah kejadian sama turut berulang dan kali ini membabitkan Suhaimi dan Amirudin yang disoal siasat berhubung ‘penyalahgunaan dana kerajaan negeri’ iaitu dakwaan yang sama terhadap Teoh," kata Lau.

Suhaimi dan Amirudin diuar-uarkan sebagai di antara empat ADUN Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang bakal keluar parti kerana mempunyai pandangan yang berbeza tentang cara kepimpinan Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim.

Namun mereka menafikan perkara tersebut, sementara Lau dan para penyokong memberi sokongan penuh ke atas mereka sekaligus menolak spekulasi bahawa kerajaan negeri mengalami perpecahan.

"Saya Tidak Tertekan"

Dalam pada itu, Suhaimi berkata beliau tidak berasa tertekan dengan tindakan SPRM itu malah akan memberi kerjasama yang baik kepada mereka.

Namun beliau berulang kali menegaskan bahawa tidak melakukan sebarang kesalahan yang boleh menyabitkannnya dalam hal tersebut.

"Penyiasatan dijalankan secara profesional, saya tiada sebarang tekanan, dan yakin bahawa mereka hanya mengumpulkan maklumat kerana jelas SPRM cuba mencari maklumat lanjut berhubung skandal pasir itu.

"Walaupun pada awal saya tidak jelas dengan siasatan itu namun saya tidak nampak perkara sedemikian berlaku," katanya ketika dihubungi Free Malaysia Today.

Walau bagaimanapun Suhaimi tidak menolak kemungkinan siasatan itu wujud pergerakan politik seperti didakwanya dalam blog Free Malaysia Today semalam.

"Saya rasa ada sedikit ‘movement’ politik dalam siasatan ini," katanya ringkas.

Sementara itu, siasatan terhadapnya akan bersambung di Ibu Pejabat SPRM, 5 Julai ini pada pukul 2 petang.

Tiada ulasan: