Khamis, 22 Julai 2010

Siasat laporan bekas pegawai TUDM – Majlis Peguam


n_10tharmendran Oleh Fazy Sahir

PETALING JAYA: Presiden Majlis Peguam Malaysia, Ragunath Kesavan menggesa polis menyiasat laporan bekas Sarjan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), N Thamendran sehingga permohonan perintah perlindungan dibuat kepada mahkamah pada 19 Julai lalu.

Ironinya, ekoran kegagalan Tharmendran memperoleh perintah perlindungan dari mahkamah, beliau mengambil keputusan untuk membatalkan ikat jamin RM50,000 sekaligus membawa beliau kembali ke Penjara Sungai Buloh.

Ragunath berkata, "perkara tersebut tidak sepatutnya berlaku. Beliau (Tharmendran) membuat laporan dan polis perlu siasat serta beri perlindungan kepadanya.

"Beliau memerlukan perlindungan polis, dan menjadi amalan polis untuk memberi perlindungan kepada mana-mana individu yang memerlukannya," katanya yang dihubungi Free Malaysia Today, hari ini.

Dua laporan polis dibuat membabitkan ahli keluarga Thamendran berhubung dakwaan beliau diseksa oleh pegawai perisikan tentera selama tiga minggu ekoran siasatan kes kehilangan dua enjin jet itu.

Manakala pada 17 Julai lalu, Thamendran membuat laporan polis ekoran terdapat teman lama Thamendran yang cuba menahannya sebelum perbicaraan kes berlangsung.

Tharmendran didakwa bersama Rajandran Prasad Kusy atas kehilangan dua enjin jet F-5E di pengkalan tentera udara Subang Disember 2007.

Beliau juga menghadapi pertuduhan di bawah Sekysen 109 Kanun Keseksaan kerana bersubahat dengan pegawai kanan tentera udara Mohamad Shukri Mohamad Yusop dalam kes kecurian enjin dari pengkalan tentera udara Sungai Besi.

Sistem perundangan dan kehakiman gagal

fa3212f96999f639799b63ce846203b2Peguambela Thamendran, N Surendran menyifatkan kerajaan gagal untuk bertindak dan merubah sistem perundangan dan kehakiman sedia ada di negara ini.

"Kes ini memberi kesan kepada semua sistem yang ada di negara ini. Sistem perundangan dan kehakiman telah gagal dan kerajaan sepatutnya bertanggungjawab untuk merubah sistem tersebut.

"Disebabkan kegagalan kerajaan ini menyebabkan individu berkenaan masuk penjara sedangkan beliau meminta jaminan untuk keselamatannya," katanya.

Menurut Surendran, pihaknya masih menunggu jawapan balas dari Kementerian Pertahanan mengenai pertuduhan yang dikenakan ke atas anak guam belanya itu.

Sementara itu, pihak pembelaan memfailkan permohonan pada 15 Julai lalu kepada Mahkamah Sesyen Petaling Jaya untuk mendapatkan lebih banyak dokumen memandangkan ia masih tidak mencukupi bagi kes tersebut.

Pada 16 Julai pula, di Mahkamah Tinggi Shah Alam, pihak pembelaan memohon kes Tharmendran ditolak kerana proses sewajarnya tidak dipatuhi.

"Tidak gembira tetapi lega tidak diseksa lagi"

kesavan_latest Ketika ditanya mengenai reaksi Thamendran mengenai keputusan yang dibuat anak guamnya itu, Surendran berkata, "beliau tidak gembira dengan keputusan itu tetapi merasa lega kerana tidak lagi diseksa seperti sebelum ini."

Surendran turut mendakwa Thamendran telah dikambinghitamkan memandangkan sesuatu yang tidak masuk akal bagi anak guamnya mampu mencuri enjin dan menghantarnya hingga ke Uruguay, Amerika Selatan.

Sambil mempertahankan anak guamnya, Surendran turut ‘menghidu’ sesuatu yang tidak kena, ekoran pilihan dibuat anak guamnya itu.

"Beberapa kakitangan TUDM yang terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita muncul di rumah Tharmendran di Seremban, Jumaat lalu, bertanyakan tentang "lapor diri ke kem".

Kata beliau, "ibu bapanya tidak tahu di mana anaknya berada selepas meninggalkan rumah akhir-akhir ini untuk menetap di tempat lain.

"Perkara ini serius kerana tertuduh bukan lagi Sarjan TUDM dan sudah meletak jawatan 28 Mei lalu," tambah Surendran.

Dalam pada itu, menurut seorang lagi peguam bela Thamendran, Latheefa Koya, pihaknya akan menghantar memorandum di hadapan ibu pejabat Kementerian Pertahanan esok berhubung nasib anak guamnya itu.

"Keluarga Thamendran serta peguam yang mewakilinya akan hantar memorandum bagi mendesak kementerian berkenaan untuk memberi lebih perhatian kepada kes ini dan juga nasib anak guam agar lebih terbela.

Tiada ulasan: