Selasa, 6 Julai 2010

SEMUA KANGAROO SABAH MULA BERSIDANG?

Oleh: HAFIZ JAMAIL


KETAKSUBAN terhadap kuasa Mahkamah Anak Negeri yang menjalankan pentadbiran Ala-Mahkamah Kangaroo menyebabkan mereka menghalang Krew Sabahkini.net menjalankan tugas di Persidangan Kehakiman Mahkamah Anak Negeri Sabah 2010.

Dalam insiden pagi tadi, seorang Krew Sabahkini.Net yang ditugaskan merakam perjalanan dan mengambil gambar para peserta Persidangan Kehakiman Mahkamah Anak Negeri Tahun 2010 bertempat di Dewan Sri Kinabalu, Kompleks Tabung Haji, Kota Kinabalu telah dihalang daripada menjalankan tugas sedangkan majlis berkenaan bukanlah majlis tertutup kerana semua media dibenarkan membuat liputan.

Seorang pegawai penganjur yang enggan memaklumkan namanya telah menghalau Krew Sabahkini.net sambil mengeluarkan kata-kata yang berunsur fitnah dan menegah Krew berkenaan daripada mengambil gambar dan membuat liputan termasuk mengambil salinan kertas kerja yang dibentangkan oleh beberapa Peguam Kangaroo yang berasal daripada Negeri Sabah.

“Saya mendapat arahan daripada Pengarah kami, bahawa kamu tidak boleh mengambil gambar para perserta. Kamu juga tidak dibenarkan sama sekali merakam pembantangan kertas kerja yang sedang berjalan,” kata Pegawai tersebut ketika menghalau Krew Sabahkini.Net keluar daripada Dewan Persidangan.

Apabila ditanya kenapa Pegawai tersebut menghalau Krew Sabahkini.net, dengan selamba pegawai tersebut menjawab bahawa Sabahkini.Net adalah laman web anti Kerajaan.

“Kerja kamu ini menghina kerajaan sahaja,” kata lelaki yang kemudian bernama Osman iaitu seorang ahli UMNO dari Keningau dengan nada biadap sambil mengiringi Krew Sabahkini.Net keluar daripada dewan.

Persidangan Kehakiman Mahkamah Anak Negeri 2010 yang bermula 05 Julai 2010 hingga 08 Julai 2010 telah diresmikan oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Penglima Musa Haji Aman.

Antara objektif Persidangan tersebut ialah:

-Untuk memberi kesedaran kepada peserta akan dasar-dasar dan pembangunan negeri dan negara di alaf baru;

-Untuk menyedarkan para peserta akan peranan dan tanggungjawab mereka dalam proses memantapkan kestabilan kerajaan dalam era globalisasi;

-Untuk memahir serta memantapkan para peserta dengan undang-undang yang berkaitan dengan Adat Istiadat Anak Negeri;

-Untuk menyedarkan para peserta hakikat ilmu dan maklumat dalam konteks keadilan sosial di peringkat akar umbi; dan

-Untuk Mendedahkan para peserta kepada hala tuju dan usaha-usaha mentransformasi serta memantapkan kewibawaan institusi Anak Negeri Sabah di alaf baru.

Dalam pada itu, Editor Sabahkini.Net, Mutalib M.D yang ketika ini berada di luar negara ketika dihubungi berkata beliau amat kesal dengan sikap ‘Budak Tadika’ Penganjur Persidangan yang jelas nampak takut dengan bayang-bayang sendiri seolah-olah Sabahkini.net agen Israel; sedangkan selama ini Sabahkini.Net bersifat adil membongkar kebenaran demi survival rakyat Sabah.

“Sabahkini selama ini telah memperkenalkan budaya media yang terbuka kepada semua penyokong Kerajaan atau ahli pembangkang untuk mengutarakan pendapat masing-masing dalam satu laman web yang bertanggung jawab,” ujar Mutalib M.D yang akan menghantar kawat bantahan kepada Ketua Menteri Sabah dan Majlis Hal Ehwal Anak Negeri Sabah.

Kata Mutalib, mungkin pihak penganjur takut ketika persidangan berjalan segala kepincangan Jabatan Hal Ehwal Anak Negeri dan Majlis Anak Negeri yang selama ini berjaya mereka rahsiakan akan didedah oleh perserta persidangan.

Tiada ulasan: