Jumaat, 23 Julai 2010

Seminar DAP diubah jadi sembang kedai kopi

MALAYSIA KINI

Majlis 'Tanah dan Rakyat' anjuran DAP Kuching yang diarahkan oleh polis supaya dibatalkan pada Sabtu ini akan tetap diteruskan tetapi formatnya akan diubah.

“Daripada memberi ucapan, penceramah yang hadir di kedai kopi dan orang ramai boleh mengajukan soalan kepada mereka,” kata pemimpin DAP Sarawak yang juga ahli parlimen Kuching, Chong Chieng Jen.

Pada asalnya, DAP bercadang menganjurkan seminar berhubung isu tanah tetapi permit mereka ditolak oleh polis dengan alasan tempat yang dicadangkan itu tidak sesuai.

Chong ketika dihubungi berkata polis tidak boleh menggangu majlis mereka, yang dijangka akan menarik minat beberapa ratus penduduk bandar kerana “permit tidak diperlukan bagi duduk sambil menghirup secawan kopi.”

“Mereka tidak boleh menghalau kami keluar dari kedai kopi berkenaan kerana apa yang akan kami lakukan ialah duduk sambil menjawap soalan yang dikemukakan,” kata Chong.

Menurut pemimpin DAP itu lagi alasan polis yang majlis itu akan mengganggu kelancaran lalu lintas di kawasan berkenaan juga tidak masuk akal kerana kedai kopi itu terletak di kawasan yang jumlah trafiknya agak rendah.

Katanya, beliau percaya tindakan polis itu bermotifkan politik yang dianggap satu lagi bentuk tekanan daripada kerana BN dalam menghadapi pilihan raya negeri akan datang.

“Polis seolah-olah cuba campur tangan dengan politik...atau bertindak atas arahan sesetengah parti politik.

“Tanah adalah isu yang penting dan banyak berlaku skandal membabitkan pemimpin BN, jadi lebih ramai rakyat yang datang, mereka akan tahu tembelang pemimpin BN dan mereka akan kehilangan sokongan,” kata Chong.

Tambahnya, majlis berkenaan tidak boleh dipindahkan kerana notis daripada pihak polis diterima lambat.

Tiada ulasan: