Rabu, 14 Julai 2010

Selangor lulus 391 buah rumah ibadat

jayakumar Di sekitar DUN Selangor

Oleh Qayum Rahman

SHAH ALAM: Exco Kesihatan, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin Dr Xavier Jayakumar menyatakan bahawa kerajaan negeri Selangor telah meluluskan sebanyak 391 buah rumah ibadat bukan Islam yang melibatkan kuil, tokong, gereja untuk mendapat hak milik tanah yang sah.

Menurutnya, setiap rumah ibadat bukan Islam yang diberikan hak milik tanah diwajibkan mempunyai kriteria seperti rumah ibadat harus berdaftar, persekitaran segi keluasan jalan perlu strategik dan persetujuan dari seluruh penduduk perlu dicapai.

Beliau berkata, kerajaan negeri mewajibkan lokasi rumah ibadat bukan Islam perlu didirikan di sekitar kawasan kelompok masyarakat yang berkenaaan dan tapak perancangan tersebut haruslah mengikut piawaian yang ditetapkan.

Xavier juga menegaskan tanah persekitaran rumah ibadat bukan Islam perlulah harmoni dengan kawasan persekitaran tanpa mewujudkan kekecohan yang boleh mengganggu ketenteraman.

"Kerajaan menilai kelulusan yang diberikan kepada rumah ibadat bukan Islam dari pelbagai segi supaya tidak menyebabkan ketidakpuasan hati dari pihak-pihak lain.

"Kelulusan terhadap satu permohonan hak milik tanah rumah ibadat bukan Islam mengambil masa enam hingga 12 bulan untuk diluluskan," katanya ketika menjawab persoalan daripada Adun Sekinchan Ng Suee Lim.

Tambah beliau, kerajaan negeri juga menetapkan zon pemisah setiap rumah ibadat bukan Islam yang wajib dipisahkan dari kediaman masyarakat Islam sekurang-kurangnya 50 meter.

Katanya, Sebanyak 22 hak milik tanah rumah ibadat bukan Islam diberikan di Petaling manakala 235 diberikan di Klang, di Gombak sebanyak 12, Sepang sebanyak 20, Sabak Bernam 11, Kuala Langat 58, Hulu Selangor 25 dan Hulu Langat sebanyak 8 telah diluluskan setakat ini.

"Kelewatan kelulusan hak milik tanah rumah ibadat bukan Islam berlaku kerana kerajaan negeri gagal melaksanakan permohonan setelah dokumen yang disertakan tidak lengkap.

"Banyak lagi kawasan rumah ibadat yang akan diluluskan untuk membantu setiap kaum di negara ini mendapat hak bagi menjalankan ibadat keagamaan masing-masing," katanya

Tiada ulasan: