Khamis, 22 Julai 2010

Selangor kaji sendiri isu penggunaan air – Khalid


Khalid Ibrahim Oleh Fazy Sahir

SHAH ALAM: Kerajaan negeri Selangor akan mempersiapkan kajiannya sendiri berhubung peningkatan penggunaan air oleh pengguna lebih tinggi berbanding negara maju di dunia ekoran data yang ada tidak dikemaskini.

Menurut Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, kajian penyelidikan National Water Resources Study pada tahun 2000 menunjukkan pengguna di Kuala Lumpur dan Selangor menggunakan 500 liter air per kapita setiap hari.

"Ini menunjukkan bahawa penggunaan air di tempat terbabit lebih tinggi berbanding bandar-bandar maju di seluruh dunia.

"Penggunaan air di Selangor dan Kuala Lumpur lebih tinggi berbanding bandar raya seluruh dunia seperti di London (100 liter), Sydney (214 liter) dan Singapura (328 liter)," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat exco di sini hari ini.

Beliau memberi reaksi demikian berhubung kenyataan pihak Syarikat Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) bahawa Selangor tidak mampu menampung bekalan air untuk keperluan dan permintaan yang semakin meningkat di Putrajaya, Selangor dan Kuala Lumpur.

Menurut Khalid, penyusunan semula industri perkhidmatan air di Selangor perlu dimuktamadkan terlebih dahulu berbanding projek-projek lain.

Projek baru RM8 bilion

Beliau merujuk loji rawatan air Langat 2 yang merupakan projek baru kerajaan persekutuan bernilai RM8 bilion membabitkan pemindahan air mentah Pahang-Selangor.

"Syabas tidak sepatutnya membuat tuntutan sedangkan rundingan bagi penyusunan semula industri perkhidmatan air di Selangor masih berterusan.

"Projek Langat 2 itu tidak perlu disegerakan, tetapi yang penting hal penyusunan semula ini perlu diakhiri sebelum mana-mana projek lain.

"Ini penting kerana isu berkaitan air termasuklah kuantiti air yang hilang setiap hari dapat diatasi" katanya.

Dalam pada itu, sebanyak 35 peratus air yang dirawat tidak sampai kepada pengguna disebabkan hal kebocoran yang berlaku.

"Jumlah air yang tidak mendatangkan hasil (kebocoran) perlu dikurangkan kepada 15 peratus," katanya.

Dalam pada itu Exco Selangor Elizabeth Wong pula berkata pembinaan lebih banyak empangan dan loji rawatan air bukanlah penyelesaiannya.

Sebaliknya, pengguna perlu berubah dengan mengurangkan penggunaan air yang dirawat digunakan setiap hari.

"Pengguna perlu mula berubah dan kurangkan penggunaan air yang dirawat bagi kegunaan mereka sehari-harian," katanya.

Tiada ulasan: