Khamis, 22 Julai 2010

Sekat media Pakatan takut skandal terdedah

Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR: Tindakan Kerajaan Umno Barisan Nasional menyekat pengamal media khususnya media Pakatan Rakyat menyebarkan maklumat kepada rakyat dipercayai kerana khuatir skandal dan salah guna kuasa pemimpinnya tersebar kepada umum.

Pengerusi Kumpulan Aktivis Media Indipenden (KAMI), Ahmad Lutfi Othman berkata, bagi meneruskan kekuasaan pemimpin mereka, kerajaan bertindak menekan pengamal media menggunakan akta-akta tertentu.

"Masalah besar kepada pemimpin atau Perdana Menteri, mereka tidak dapat menyembunyikan skandal-skandal atau salah guna kuasa yang berleluasa yang mungkin akan didedahkan oleh pihak akhbar.

"Jadi demi survival kuasa mereka, maka mereka akan mengambil tindakan mudah untuk mengenakan tindakan-tindakan menekan pihak media menggunakan akta-akta yang ada," katanya selepas menghadiri pertemuan dengan aktivis-aktivis KAMI di pejabat editorial Harakah, dekat sini, semalam.

Lutfi yang juga ketua pengarang akhbar rasmi PAS, Harakah juga berkata, beliau tidak terperanjat dengan tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyekat kebebasan media di negara ini kerana banyak tindakan beliau dilihat mengikuti jejak langkah bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang terlalu menekan media yang dilihat pro pembangkang.

"Bagi saya, saya tidak terperanjat dengan tindakan Datuk Seri Najib yang banyak perkara saya lihat beliau seolah-olah mengikut mentornya Tun Mahathir yang mengambil tindakan menekan dan mengunakan pendekatan yang keras pada zaman pemerintahannya dahulu," katanya.

Tambahnya, selepas kerajaan bertukar daripada bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Badawi, kebanyakan pengarang berita di akhbar-akhbar yang besar telah ditukar dengan orang yang rapat dengan Najib.

Ujarnya juga, tindakan Najib yang ‘berlagak baik’ pada awal pemerintahannya dengan membatalkan penggantungan permit keluaran dua kali seminggu Harakah serta membebaskan tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ternyata lakonan untuk mengaburi mata rakyat.

"Semasa Najib baru dilantik menjadi Perdana Menteri, beliau berjanji untuk melakukan pembaharuan dan langkah awalnya dengan membatalkan perintah menggantung penerbitan akhbar rasmi Parti Islam Se-Malaysia ketika itu serta membebaskan tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri.

"Beliau kemudiannya mengulangi corak pemerintahan kuku besi Dr Mahathir apabila tidak dapat menyembunyikan masalah dan skandal yang mungkin didedahkan oleh pihak akhbar.

"Semasa Najib baru dilantik menjadi Perdana Menteri, beliau berjanji untuk melakukan pembaharuan dan langkah awalnya dengan membatalkan perintah menggantung penerbitan akhbar rasmi PAS ketika itu serta membebaskan tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri.

"Beliau kemudiannya mengulangi corak pemerintahan kuku besi Dr Mahathir apabila tidak dapat menyembunyikan masalah dan skandal yang mungkin didedahkan oleh pihak akhbar," katanya.

Tiada ulasan: