Jumaat, 30 Julai 2010

Sarjan Tharmendran turut dibicarakan di mahkamah tentera atas kesalahan lain

BERNAMA

KUALA LUMPUR – Sarjan N. Tharmendran dari Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) bukan sahaja menghadapi pertuduhan mencuri dua enjin pesawat F5 milik TUDM, tetapi turut didakwa atas pertuduhan lain di Mahkamah Tentera kerana menerima harta awam yang digunakan secara tipuan dan satu pertuduhan alternatif iaitu menerima harta curi.

Sarjan itu didakwa mengikut Seksyen 61(b) Akta Angkatan Tentera 1972 dan Seksyen 88 Akta Angkatan Tentera 1972 yang berlawanan dengan Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun jika sabit kesalahan.

Tharmendran telah dihadapkan ke Mahkamah TUDM bermula pada Jun 2007 dan seramai 11 saksi pendakwaan telah dipanggil sehingga Mei 2009. Bagaimanapun perbicaraan itu ditangguhkan untuk memberi laluan kepada penyiasatan kes kecurian enjin pesawat yang didakwa dilakukannya.

Perbicaraan itu sepatutnya disambung pada hari ini dengan memanggil tiga lagi saksi sebelum menutup kes pendakwaan. Bagaimanapun, ia ditangguhkan selepas peguam bela tertuduh, Rakhbir Singh tidak hadir kerana beliau menjelaskan melalui surat kepada mahkama menyatakan ingin menarik diri selepas tidak mendapat arahan daripada anak guamnya itu.

Mengikut pertuduhan, Tharmendran, 42, didakwa menyalahgunakan secara tipuan harta-harta milik awam iaitu lapan buah “HP Laser Jet Print Catridge” pelbagai model manakala bagi pertuduhan alternatif dia didakwa menerima harta curi lapan buah “HP Laser Jet Catridge” pelbagai model.

Turut didakwa, seorang Koperal Udara Mohamad Zohari Aris, yang menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 61(a) Akta Angkatan Tentera 1972 iaitu menyalahgunakan 10 buah “HP Laser Jet Print Catridge” pelbagai model.

Bagi pertuduhan alternatif dia didakwa menerima harta curi “HP Laser Jet Catridge” itu mengikut Seksyen 88 Akta Angkatan Tentera 1972 yang berlawanan dengan Seksyen 403 Kanun Keseksaan.

Mereka mengaku tidak bersalah terhadap kesemua kesalahan itu yang didakwa dilakukan di Pangkalan Udara Subang pada 1 tengah hari, 13 Jan 2006.

Peguam bela, Mejar H. S. Tiong yang mewakili Tharmendran sebelum ini memberitahu mahkamah bahawa beliau telah pergi ke Penjara Sungai Buloh pada 27 Julai lalu tetapi Tharmendran menyatakan tidak berminat untuk meneruskan beliau mewakilinya.

“Saya telah pergi menemui tertuduh di penjara tetapi tertuduh bertindak mendiamkan diri dan menyatakan tidak berminat untuk melantik saya sebagai peguamnya,” katanya.

Peguam Mohd Fadzil Zainuddin yang mewakili Mohamad Zohari turut memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya juga tidak berminat untuk mendapatkan khidmatnya.

Tharmendran yang memakai baju biru menjelaskan bahawa dia ingin melantik peguam baru iaitu N. Surendran untuk mengambil alih bagi menjalankan perbicaraan itu.

Namun demikian, Tharmendran memberitahu bahawa Surendran turut gagal menghadirkan diri ke mahkamah atas alasan dia tidak dimaklumkan tarikh bicara itu hari ini.

Mahkamah juga menangguhkan kes Mohamad Zohari yang diwakili peguam bela G. Ravichandran kerana peguam itu mempunyai kes lain di Mahkamah Tinggi Teluk Intan, Perak.

Perbicaraan yang dijalankan di hadapan Yang Dipertua Mejar Zainal Abidin Abdul Aziz dan ahli-ahlinya membenarkan penangguhan itu sambil memberi amaran bahawa tiada lagi alasan untuk menangguhkan perbicaraan kerana kes ini sudah terlalu lama.

“Mahkamah membenarkan penangguhan ini, dan berharap kesemua pihak yang terlibat tidak melengahkan kes, bagaimanapun mahkamah tidak menetapkan sebarang tarikh yang lain kerana kedua-dua peguam bela gagal hadir dan tarikh itu akan ditetapkan kemudian,” katanya.

Perbicaran dikendalikan Pendakwa Raya Kapten Zaharuddin Che Zahari dan Kapten Ahmad Azam Soip.

Pada 6 Jan lalu, Tharmendran mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya di sini terhadap pertuduhan bersubahat mencuri dua enjin pesawat F5 milik TUDM.

Seorang pengarah sebuah syarikat pembekalan, K. Rajandran Prasad, 38, turut mengaku tidak bersalah di mahkamah yang sama terhadap pertuduhan dengan sengaja membantu menghapuskan barang curi milik TUDM itu.

Tharmendran didakwa bersubahat dengan Laskar Udara Mohamad Shukri Mohamad Yusop, untuk melakukan kecurian dua enjin pesawat F5 jenis J85-21 itu di Bangunan Material Processing Shed MATRA 1, Pangkalan Udara TUDM Sungai Besi di sini.

Bagi kesalahan itu dia boleh didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 109 kanun yang sama, yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Rajandran, didakwa dengan sengaja menghapuskan dua enjin milik TUDM, di alamat 49 Jalan TS 6/6 Taman Industri Subang, pada 30 April 2008, mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan. –

Tiada ulasan: