Selasa, 6 Julai 2010

SAPP SOKONG LANTIK ANAK TEMPATAN SEBAGAI JUSA

Oleh: ISMAIL MOHD ROSLI (sabhakini)

AHLI Parlimen Sepanggar, Datuk Eric Majimbun mendesak agar pihak Kerajaan Persekutuan memberi peluang kepada anak tempatan Sabah yang sudah berpengalaman dan berkelayakan untuk menjawat jawatan utama sektor awam (JUSA) di mana-mana Jabatan Persekutuan di Sabah.

Menurutnya, sebagai rakyat di negeri ini, anak tempatan yang berpotensi untuk menjawat jawatan tersebut lebih memahami budaya masyarakat di negeri ini dan ini memberi kelebihan kepada mereka berurusan dengan rakyat di negeri ini.

“Sampai bila Kerajaan Persekutuan mahu membuka peluang ini kepada anak tempatan di negeri Sabah, sudah 47 tahun Sabah sebagai komponen penting di Malaysia, malangnya anak tempatan sering dibelakangkan untuk menjawat jawatan yang sepatutnya menjadi hak anak tempatan di negeri ini,” ujar Eric yang menyatakan Pengarah Jabatan Imigresen wajib diserahkan kepada rakyat Sabah sebagaimana Jabatan Pendaftaran Negara yang penting untuk menjaga kedaulatan negeri ini.

Tidak dinafikan, kata Eric, memang ada anak tempatan yang menjadi Ketua di Jabatan Persekutuan di negeri ini pada ketika ini, tetapi jumlahnya hanya tiga peratus sahaja terutama di jabatan yang tidak produktif dan jumlah ini perlu dipertingkatkan.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi media mengulas kenyataan Bekas Ketua Penerangan Umno Bahagian Tuaran, Sulaiman Sabri yang disiarkan di akhbar-akhbar tempatan baru-baru ini.

Tambah Eric lagi yang juga Timbalan Presiden Parti SAPP Sabah, apa yang berlaku sekarang di negeri ini seolah-olah anak tempatan yang mempunyai pengalaman dan berkelayakan tidak boleh bersaing dengan pegawai-pegawai kerajaan dari Semenanjung.

Sedangkan jelas Eric, di negeri ini juga mempunyai sumber tenaga pakar yang berkebolehan dan diiktiraf oleh negara luar.

“Kenapa anak-anak tempatan di negeri ini yang mempunyai kepakaran sanggup berkerja luar dari negeri ini dan mereka sanggup bekerja di Amerika, Singapura, Australia sebagai pakar. Ini disebabkan kerajaan Malaysia tidak mengambil perhatian sepenuhnya terhadap kepakaran yang mereka miliki,” katanya lagi.

Eric juga turut mencadangkan agar Kerajaan Persekutuan memberi kuasa penuh kepada Ketua-Ketua Jabatan di kalangan anak tempatan di Jabatan Persekutuan bagi membolehkan mereka membuat keputusan tanpa merujuk pihak atasan demi kebaikan penduduk di negeri ini.

Dalam kenyataan Sulaiman di akhbar tempatan baru-baru lalu, Sulaiman mendakwa masih banyak Ketua-Ketua Jabatan Persekutuan di Sabah disandang pegawai dari Semenanjung sedangkan pada masa yang sama ramai dikalangan anak tempatan di negeri ini yang sudah berpengalaman dan berkelayakan mampu menunaikan tanggungjawab tersebut.

Menurut Sulaiman lagi, penyelesaian isu tersebut penting bagi mengubah sentimen rakyat Sabah yang merasakan dianaktirikan dalam pembahagian jawatan dalam Jabatan Persekutuan di negeri Sabah.

Kata Sulaiman lagi, sudah sampai masanya kepimpinan atasan meneliti perkara tersebut dan memberi peluang kepada anak tempatan Sabah bagi menjawat jawatan-jawatan berkenaan.

Sebelum ini, isu tersebut turut mendapat reaksi positif dari Ketua Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Jahid Jahim, Ketua Bahagian Parti Bersatu Sabah Bahagian Kiulu, Datuk Louis Rampas merangkap Ahli Majlis Tertinggi Parti Bersatu Sabah, Ahli Majlis Tertinggi Parti Bersatu Sabah, Bahagian Pitas, Ng Loi Tect dan Pengerusi Parti SAPP Bahagian Tamparuli, Chua Hian Hock.


9 ulasan:

Ted Medresher berkata...

untuk maju tidak perlu ada amalan berat sebelah atau pilih kasih dalam mana2 jabatan. kerajaan perlu memandang serius berkenaan dengan masalah ini sebelum isu ini menjadi ancaman kepada kerajaan..

tombolo berkata...

hanya orang Sabah yang memahami masyarakt Sabah. oleh itu, utamakanlah anak2 Sabah untuk menjawat jawatan tertinggi dalam persekutuan di Sabah.

Paquin berkata...

Jangan risau bah.. Klaau mmg layak, tak perlu main desak2 konpom kena lantik juga tu. hehehe

Tanpa Nama berkata...

bgslah jika ada anak2 Sabah yang dilantik menjadi JUSA, ramai orang Sabah yang layak sebenarnya, mereka perlu diberi peluang!

Mahsiran berkata...

kerajaan pusat haruslah memberi peluang kepada rakyat sabah untuk memegang jawatan tersebut. 47tahun berlalu masih lagi Jawatan bukan milik orang sabah sendiri. oleh itu, peluang haruslah diberikan kepada orang sabah.

Anak Sabah berkata...

Anak tempatan sepatutnya diberikan peluang untuk dilantik jika memenuhi semua kelayakan serta berkemapuan. Kenapa tidak? Lagipun ini tempat orang Sabah, orang Sabah berhak untuk dilantik.

zam berkata...

yang penting untuk menjawat jawatan jusa adalah kelayakan..maka sesiapa yang berkelayakan pasti akan dilntik juga itu nanti..

Hamdan Hadillah berkata...

anak tempatan mestilah memenuhi syarat untuk memegang jawatan tersebut. cadangan SAPP ini mungkin akan dipertimbangkan oleh kerajaan. ini untuk kebaikkan rakyat sabah sendiri.

Boten_Trish berkata...

I hope the Govt will give the Sabahans a chance to be picks for the main job. Only Sabahans can understand the culture, the problems and the people.