Ahad, 11 Julai 2010

Samy ajak parti-parti politik India bersatu hadapi PRU-13

BERNAMA

KUALA LUMPUR – Sementara mengakui beberapa keputusan yang diambilnya mungkin tidak dapat diterima baik sesetengah pihak, Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu berkata, beliau hanya melakukan “apa yang betul” untuk masyarakat dan parti.

“Terdapat banyak keadaan di mana keputusan-keputusan saya tidak disukai, tetapi saya percaya sebagai seorang pemimpin, saya telah melakukan apa yang betul untuk rakyat.

“Saya perlu melakukan perkara yang betul, dan pada masa sama, mendapatkan apa yang betul bagi rakyat,” katanya kepada 3,000 perwakilan dan pemerhati MIC pada majlis perasmian perhimpunan agung MIC ke-64 di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.

Samy Vellu, yang akan bersara pada atau sebelum 30 Sept tahun depan selepas hampir 32 tahun memimpin parti, berkata era kepimpinannya adalah “suatu yang sukar, penuh ujian dan mencabar”.

“Terdapat perubahan sosial yang berlaku dalam masyarakat dan kesukaran dalam sektor pendidikan, economi, pekerjaan dan agama sentiasa dikemukakan kepada kami dalam kepimpinan MIC,” kata beliau.

Pemimpin utama MIC itu turut membidas individu-individu tertentu kerana memecahbelahkan masyarakat India sehingga membawa kepada pembentukan beberapa parti-parti politik kecil kaum itu.

“Banyak daripada kita sebenarnya bersalah kerana memecahbelahkan kaum India kepada pelbagai kumpulan kecil, tidak penting dan berpecah-pecah yang mendakwa melakukan perjuangan sempit mereka.”

Beliau berkata pada satu keadaan, terdapat pertubuhan bukan kerajaan yang kelihatan memperjuangkan isu-isu pendidikan dan pada masa yang lain, terdapat kumpulan kaum India yang mendakwa mewakili rakyat yang kurang bernasib baik.

Ada juga kumpulan-kumpulan yang dibentuk semata-mata untuk mendapat sokongan politik tetapi gagal mengekalkan kehadiran mereka kerana mereka tidak mempunyai hala tuju yang jelas bagi kaum India, kata beliau.

“Sebagaimana ramai daripada kita suka menafikan kebenaran, pada hakikatnya bahawa di sebalik semua cabaran-cabaran yang dihadapi, MIC terus kekal kukuh, relevan, bersemangat dan merupakan satu-satunya suara masyarakat India,” kata beliau.

Tiada ulasan: