Rabu, 7 Julai 2010

RMR: Subsidi kontraktor lebih dari subsidi rakyat

Hazayani Zakaria


KUALA LUMPURi: Kementerian Kewangan diminta meneliti semula kos yang diberikan kepada kontraktor pembinaan rumah mesra rakyat (RMR) iaitu RM100 untuk satu kaki persegi kerana nilainya tidak setimpal dengan mutu rumah yang dibina.

Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR-Permatang Pauh) ketika mengemukakan soalan tambahan dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini mendakwa terdapat unsur penyelewengan dalam perkara itu apabila kontaktor mengaut keuntungan yang tinggi daripada projek yang dilaksanakan.

"Satu kaki persegi bernilai RM100. Kos itu biasanya bagi rumah mewah dan peringkat menengah. Oleh itu, ternyata ada unsur penyelewengan iaitu subsidi kepada kontraktor lebih daripada subsidi kepada rakyat.

"Kementerian kewangan harus meneliti semula mengapa kontrak diberi begitu rupa, begitu tinggi. Sebahagian besar daripada peruntukan yang dimaksudkan untuk golongan miskin berpindah kepada kontraktor yang kaya dan yang lebih merisaukan, mutu rumah tidak setimpal dengan RM100 satu kaki persegi," katanya.

Beliau juga berkata, kerajaan tidak benar-benar prihatin dalam membantu golongan miskin apabila mengabaikan keselamatan mereka hasil pembinaan rumah yang tidak sempurna.

"Maknanya kerana rumah ini rumah rakyat miskin, pengawasan itu tidak teliti dan kepentingan mereka terabai. Soalannya mengapa subsidi begitu tinggi untuk kontraktor, tapi keselesaan golongan miskin tidak dihiraukan," katanya.

Timbalan Menteri Kewangan II, Senator Datuk Awang Adek Hussin dalam jawapannnya menafikan dakwaan itu sebaliknya menunjukkan statistik mengenai kos kaki persegi yang sebenar.

Anwar bagaimanapun menegaskan, nilai yang dinyatakannya diperoleh daripada laporan audit negara, dan meminta Awang Adek merujuk semula perkara itu.

Sebelum itu, Datuk Ismail Abd. Muttalib (BN-Maran) meminta Menteri Kewangan menyatakan berikutan sambutan masyarakat yang tinggal di luar bandar terhadap program Rumah Mesra Rakyat (RMR) amat menggalakkan sekalipun syaratnya masih ketat termasuk menetapkan mereka berpendapatan bawah RM1,500.

Beliau ingin tahu sama ada kerajaan bercadang atau tidak untuk menaikkan had pendapatan kepada RM2,500 bagi membolehkan lebih ramai rakyat mendapat faedah daripada program itu.

Tiada ulasan: