Khamis, 1 Julai 2010

RM10,000 ganjaran maklumat Nisha

UTUSAN ONLLINE


KUALA LUMPUR – MIC hari ini menawarkan ganjaran sebanyak RM10,000 kepada sesiapa yang dapat memberi maklumat tepat sehingga dapat menemukan C. Nisha, 2, yang hilang sejak 4 Jun lalu.

Ketua Pemuda MIC, T. Mohan berkata, ganjaran itu adalah sumbangan peribadi daripada pihak MIC yang prihatin ke atas kehilangan kanak-kanak tersebut.

“MIC berusaha sedaya upaya membantu keluarga Chandramohan dengan mengedarkan poster dan kita telah menubuhkan pasukan khas 24 jam bagi memantau kehilangan Nisha.

“Pada hari ini, kita telah melancarkan usaha terbaru dengan mengedarkan poster-poster Nisha kepada pengguna-pengguna lebuh raya,” katanya pada sidang akhbar bersempena dengan pelancaran kempen mengedarkan poster Nisha di Plaza Tol Gombak, di sini hari ini.

Dalam kempen itu, pihak MIC mendapat kerjasama daripada Kumpulan MTD yang bertanggungjawab menyelia Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak. Kumpulan MTD telah membantu mencetak dan mengedarkan poster-poster kehilangan kanak-kanak tersebut.

Selain itu, kumpulan tersebut juga telah memasang sebuah kain rentang besar di plaza tol yang memaparkan informasi tentang kehilangan Nisha.

Sementara itu, Setiausaha Agung MIC, Datuk T. Rajagopalu melahirkan rasa syukur dan berterima kasih beliau di atas kerjasama yang telah diberikan Kumpulan MTD.

“Saya amat terharu dengan kerjasama yang dihulurkan Kumpulan MTD itu. Kita harap selepas ini lebih banyak lagi syarikat-syarikat korporat memberi bantuan dalam situasi sebegini.

“Usaha seperti ini penting kerana kita tidak tahu di mana Nisha berada dan ia dapat mengingatkan orang ramai tentang kehilangan Nisha serta penderitaan yang dilalui keluarganya,” jelasnya.

Tiada ulasan: